KUALA LUMPUR – World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) sedia menawarkan fasiliti dan perkhidmatannya dalam usaha menyokong kerajaan Malaysia untuk memvaksin 70 peratus penduduk Malaysia.
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, ini kerana dewan konvensyennya terletak di lokasi strategik dengan memiliki kapasiti seluas 13,456 meter persegi dengan merangkumi lima dewan dan 19 bilik serba guna.
“WTCKL menawarkan ruang yang cukup luas dengan kemudahan seperti tempat letak kereta yang mencukupi, laluan masuk yang berbeza dan mempunyai ruang menunggu serta zon vaksinasi.
“Kami bermatlamat untuk membantu mengurangkan bebanan kemudahan kesihatan awam dan membantu memastikan proses pemulihan ini berjalan dengan lancar,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Irmohizam menjelaskan, keputusan WTCKL untuk menyediakan ruang dewan sebagai pusat vaksinasi ini selari dengan Rancangan Vaksinasi Nasional yang dijadualkan untuk bermula pada bulan Februari ini.
Tambah beliau, peruntukkan kerajaan sebanyak RM2 billion untuk pembelian vaksin Covid-19, diharapkan dapat memulihkan dan mengawal penularan virus ini di Malaysia.
“Inisiatif ini juga dapat membantu pusat-pusat kesihatan mengurangkan kos dan bebanan logistik mereka dengan menawarkan penggunaan ruangan di WTCKL sebagai tempat penyimpanan vaksin, peralatan kesihatan dan bekalan perubatan,” ujarnya.
World Trade Centre Kuala Lumpur yang sebelum ini dikenali sebagai Putra World Trade Centre merupakan pusat konvensyen pertama di Malaysia.
Pelbagai pameran dan konvensyen tempatan serta antarabangsa telah diadakan sejak tahun 1985.