fbpx

Warkah terbuka untuk Perdana Menteri Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASTINYA ramai peminat bola sepak di negara ini tidak sabar untuk menyaksikan pasukan masing-masing bersaing pada Liga M. - Gambar hiasan

Kepada:
Perdana Menteri Malaysia,
Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pejabat Perdana Menteri, Aras 5 Blok Utama Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan 62502 Putrajaya.
Assalamulaikum dan salam sejahtera kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri Malaysia yang kelapan.

Semoga Tan Sri sentiasa mendapat limpah rahmat daripada Allah S.W.T dan dikurniakan kesihatan terbaik dalam terus mentadbir negara kita tercinta.

Tan Sri,

Warkah ini penulis ingin tujukan kepada Tan Sri yang mana penulis ingin berkongsi polemik yang sedang berlaku di dalam industri bola sepak negara kita.

Seperti Tan Sri telah umumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali berkuatkuasa pada 13 Januari lalu, kita semua menyaksikan banyak larangan termasuk sukan bola sepak dijalankan dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

Pertama, cukup jauh di sudut hati penulis untuk menidakkan PKP dan umum mengetahui pelaksaan PKP tidak lain adalah untuk menghapuskan rantaian Covid-19 di negara kita.

Namun, kita semua masih dapat melihat keputusan ‘lima angka’ kekal aktif merujuk kes pesakit baharu Covid-19 dan ia makin serius saban hari demi hari.

Bagaimanapun, penulis yakin rakyat sentiasa berusaha keras mematuhi setiap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Namun, tergerak hati penulis untuk menulis warkah secara terbuka kepada Tan Sri adalah berkenaan sektor sukan ter­utama bola sepak negara.

Sejak Covid-19 melanda negara Mac tahun lalu, kita semua menanggung keperitan khususnya sektor ekonomi dan banyak perniagaan menanggung kerugian.

Banyak industri bahkan bola sepak tidak terkecuali tidak dapat dijalankan akibat pelaksa­naan PKP serta SOP yang me­nuntut penjarakan fizikal, wajib memakai pelitup muka dan pemeriksaan suhu badan bagi mengelakkan sebarang gejala Covid-19 berlaku.

Penulis sekali lagi ingin menekankan bahawa pelaks­anaan PKP tidak menjadi isu besar dan mekanisme itu adalah untuk mengekang pandemik Covid-19 sementara ketibaan vaksin.

Namun, pada masa sama penulis mengharapkan kebijaksaanan dan hemah Tan Sri bagi menilai sudut industri bola sepak yang juga pemangkin kepada ekonomi negara.

Secara praktikal, Liga Malaysia (Liga M) menyumbang pendapatan lebih RM200 juta kepada ekonomi negara sebelum berlakunya pandemik Covid-19.
Bola sepak kini bukan tampil sebagai sukan semata-mata sebaliknya salah satu industri yang merangsangkan ekonomi negara.

Industri bola sepak bukan sahaja melibatkan pasukan dan pemain tetapi turut berkait rapat dengan penaja, peniaga, perusahaan, cukai dan lain-lain.

Tahun lalu kita menyaksikan Malaysian Football League (MFL) dapat mengelola Liga M dengan selamat atau lebih tepat, tiada sebarang kluster dalam sukan bola sepak sepanjang 11 perlawanan membabitkan Liga Super dan Liga Premier selaras SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Justeru, secara faktanya MFL dapat melaksanakan tugas ­dengan baik ketika mengelolakan perlawanan Liga M.

Bagaimanapun, bola sepak negara tetap menangung kerugian hampir separuh daripada nilai sebenar disebabkan pelaksanaan PKP dan impak ini cukup besar kepada ekonomi negara.

Tan Sri,

Di sini kebijaksaan Tan Sri mampu menyelamatkan industri bola sepak negara.

Ini kerana jika diikutkan logik, mengapa bola sepak tidak dapat dijalankan sedangkan kita semua melihat aktiviti pasar malam atau pusat beli- belah masih dibenarkan dalam tempoh PKP.

Malah, kejohanan Liga M berjalan lebih ketat hasil daripada SOP wajib memerlukan ujian calitan tidak seperti sektor lain.

Penulis tidak berniat untuk menidakkan sektor lain tetapi ingin menuntut keadilan bagi sukan bola sepak negara.

Selaras dengan visi kerajaan diketuai Tan Sri iaitu mahu mendahulukan kesejahteraan rakyat, pemain dan pegawai bola sepak juga rakyat yang menagih tuntutan sama seperti sektor lain.

Ini kerana, pegawai dan pemain juga sama seperti pekerja industri sektor lain dan keka­ngan-kekangan tertentu sudah pasti memberikan kesan kepada mata pencarian mereka dalam mencari rezeki kepada keluarga.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi pengantara pihak ­kerajaan dan badan induk persatuan bola sepak negara berkenaan sebarang SOP atau pelaksanaan kejohanan dalam tempoh PKP.

Reezal menjadi individu penting membantu menghidupkan kembali industri bola sepak tempatan dalam tempoh PKP ini.

Namun, penulis dapat beri jaminan bahawa MFL bersedia untuk membawa pemilik-pemilik kelab bertemu dengan Tan Sri jika diberikan peluang.

Di situ, Tan Sri dapat mendengar suara-suara daripada pemilik kelab dan asbab kukuh mengapa Liga M wajib dijalankan.

Jika di Eropah seperti England, Sepanyol atau Itali, aktiviti bola sepak dibenarkan bukan sahaja membabitkan ekonomi sebaliknya jenama itu memberikan kesan kepada negara mereka.

Malah, Malaysia tidak terkecuali kerana melalui Liga Malaysia, nama negara turut mendapat pendedahan oleh media luar negara seperti Afrika, Brazil, Argentina, Singapura dan lain-lain lagi.

Tan Sri,

Penulis berharap Tan Sri sudi meluangkan masa untuk mendengar luahan ini.

Ini kerana, warkah ini mewakili jutaan peminat bola sepak di seluruh negara dan pinta kami hanya satu iaitu benarkan sektor bola sepak Malaysia dibuka.

Penulis percaya permintaan itu bukan satu perkara mustahil kerana ia bukan melanggar SOP atau PKP, sebaliknya ia kepen­tingan survival bola sepak ­Malaysia.

Malah, Tan Sri sendiri pernah memegang portfolio sebagai Menteri Belia dan Sukan pada tahun 1995 sehingga 1999 dan penulis sangat yakin bahawa Tan Sri lebih arif berkenaan industri bola sepak tempatan.

Akhir kata, saya ingin me­ngucapkan terima kasih kepada Tan Sri di atas kesudian mengambil masa membaca surat terbuka ini.

Apa yang pasti kebijaksa­naan dan hemah Tan Sri menjadi jalan terakhir untuk menyelamatkan Liga Malaysia.

Sekian, terima kasih.
Yang benar,
MOHD. FARIQ
Peminat bola sepak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI