PETALING JAYA – Satu video tular di media sosial apabila seorang individu dipercayai doktor mendoakan orang awam supaya dijangkiti Covid-19.
Dua video berasingan yang dimuat naik di laman Twitter masing-masing berdurasi dua minit 20 saat dan 30 saat itu menyaksikan sebuah kereta yang dipercayai dipandu seorang doktor melakukan pusingan U sesuka hati di kawasan sekitar Hospital Serdang.
Tindakan wanita itu nyaris menyebabkan berlakunya kemalangan dengan kenderaan lain.
Pengguna Twitter Fadzli Amin atau @Fadzmin yang memuat naik dua video itu memaklumkan pemandu tersebut yang juga seorang doktor telah melakukan provokasi.
“@kkmm_gov @KKMPutrajaya macam ini kah sahsiah seorang doktor? Lokasi di Hospital Serdang.
“Cara dia membuat pusingan U membahayakan orang lain dan melakukan provokasi melampau. Wajarkah seorang doktor mendoakan orang lain kena (dijangkiti) Covid-19?,” ciap @Fadzmin.
Dalam pada itu, menurut sumber, pihak Hospital Serdang menafikan wanitaberkenaan merupakan kakitangan atau pengamal perubatan Hospital Serdang.
Setakat pukul 2 petang hari ini, video tersebut mendapat kira-kira 1.38 juta tontonan di laman Twitter. – K! ONLINE