IPOH – Kerajaan negeri Perak hari ini melancarkan program Tuisyen Cikgu Saarani yang akan memberi manfaat kepada hampir 200,000 pelajar terutamanya daripada golongan miskin dan berpendapatan rendah B40 di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, untuk fasa pertama, kerajaan negeri memperuntukkan RM2.7 juta kepada 35,639 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia 2020 yang telah tertangguh sebelum ini dengan mengagihkan makanan tengah hari dan pelaksanaan tuisyen percuma kepada mereka.
“Jumlah RM2.7 juta ini akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan makanan tengah hari kepada 35,639 pelajar calon SPM 2020 yang bersekolah harian termasuk guru-guru yang mengajar mereka.
“Mereka juga akan menghadiri kelas intensif atau tuisyen yang akan dijalankan oleh guru-guru mereka melibatkan empat subjek asas iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Tuisyen Cikgu Saarani yang diadakan secara dalam talian di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud dan Pengarah Pelajaran Negeri Perak, Dr. Mohd. Suhaimi Mohamad Ali.
Tambah Saarani, kerajaan negeri mengambil inisiatif melaksanakan program tersebut selepas mendengar pandangan pelbagai pihak dan luahan ibu bapa serta guru yang risau mengenai situasi calon SPM 2020 selepas negara dilanda pandemik Covid-19.-K! ONLINE