KOTA BHARU – Pindaan Akta 342 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi membolehkan kadar kompaun pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dinaikkan disifatkan sebagai langkah yang wajar.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, kadar kompaun lebih tinggi bukan bertujuan menyusahkan rakyat, sebaliknya ia sebagai pengajaran supaya lebih bertanggungjawab dalam memastikan diri dan keluarga masing-masing mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Kita setuju kadar kompaun dinaikkan lebih tinggi, bukan kata (sengaja) mahu kompaun rakyat, tetapi supaya mereka ada rasa tanggungjawab.
“Seperti yang kita semua tahu, perkara ini akan diteliti pihak Peguam Negara dan terserah kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) menentukannya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika membuat lawatan situasi terkini PKP menerusi Program Info On Wheels (IOW): Kempen Pematuhan SOP Covid-19 di sekatan jalan raya (SJR), Jambatan Sultan Yahya Petra di sini hari ini.-K! ONLINE