fbpx

Sewa kondominium untuk anjur judi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seramai lapan kaki judi pakau diberkas di sebuah inap desa, kondominium mewah di Sungai Pinang, George Town awal pagi tadi.

GEORGE TOWN – Rahsia sekumpulan sahabat menjalankan aktiviti judi jenis pakau di sebuah kondominium mewah di Sungai Pinang di sini terbongkar selepas inap desa yang dipercayai disewa satu malam itu diserbu polis hari ini.

Suspek terdiri tujuh lelaki dan seorang wanita berusia 20 hingga 40-an itu ditahan sepasukan polis bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang pada pukul 2.30 pagi.

Operasi Op Limau itu turut mendapat kerjasama daripada Cawangan Jenayah Berat, JSJ Pulau Pinang.

Difahamkan, wanita berusia 20-an itu merupakan teman wanita salah seorang suspek manakala inap desa tersebut ditempah secara online pada harga RM300 hingga RM400 satu malam.

Kesemua lelaki terbabit tinggal di lokasi berhampiran dan bekerja sebagai peniaga.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai barangan perjudian termasuk wang tunai berjumlah RM13,000.

Menurut beliau, turut dirampas buku catatan dipercayai berkaitan pinjaman wang haram daripada salah seorang tangkapan berusia dalam lingkungan 30-an.

“Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Peraturan 16 Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana ingkar  Perintah kawalan Pergerakan.

Seorang tangkapan lelaki turut disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya akan mengambil tindakan secara berterusan terhadap pelbagai kegiatan haram yang dijalankan di negeri ini terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi tujuan membendung penularan wabak Covid-19.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI