fbpx

Khidmat nasihat percuma untuk pasangan bermasalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

MELAKA – Kerajaan negeri ini dengan kerjasama Persatuan Peguam Syarie Malaysia Cawangan Negeri Melaka (PGSM Melaka) menawarkan program khidmat nasihat dan rundingan syariah secara percuma susulan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilanjutkan.

Pejabat Ketua Menteri Melaka dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan hari ini berkata, inisiatif itu bagi membantu pasangan suami isteri yang berkemungkinan berdepan dengan masalah atau konflik rumah tangga sepanjang tempoh tersebut.

Katanya, khidmat nasihat dan rundingan itu disediakan melalui aplikasi Whatsapp, panggilan telefon atau bersemuka melalui janji temu bersama peguam syarie yang berdaftar di bawah PGSM Melaka.

“Khidmat ini disediakan secara percuma bagi membolehkan pasangan suami isteri mendapatkan pandangan profesional berkaitan isu-isu kekeluargaan mengikut hukum syarak dan Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Melaka.

“Orang ramai boleh mendapatkan khidmat nasihat dan rundingan ini secara percuma melalui aplikasi Whatsapp, panggilan telefon atau bersemuka dengan 33 peguam syarie yang disediakan,” katanya.

Katanya, antara khidmat nasihat dan rundingan syariah yang ditawarkan termasuklah permohonan perceraian secara baik, fasakh, taklik dan tebus talak serta tuntutan nafkah iddah, mutaah, nafkah isteri dan tunggakan nafkah isteri.

“Perkhidmatan ini juga meliputi hak jagaan anak dan nafkah anak; harta sepencarian; hibah dan faraid; iktiraf nikah dan iktiraf nikah poligami dan hal-hal lain yang berkaitan dengan hubungan suami isteri di dalam perkahwinan.

“Kerajaan Negeri Melaka berharap inisiatif ini dapat membantu pasangan suami isteri di negeri ini menangani masalah institusi kekeluargaan secara lebih berkesan,” katanya.

Katanya, perkhidmatan tersebut akan disediakan secara percuma kepada orang ramai sehingga 31 Disember 2021.

Terdahulu, semalam kerajaan memutuskan untuk melanjutkan lagi PKP di seluruh negara, kecuali Sarawak selama dua minggu sehingga 18 Februari ini. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI