Di saat pandemik Covid-19 melanda dunia, impak yang dibawa bersama kadangkala boleh membuatkan kita jatuh terduduk.
Ramai yang kehilangan punca pendapatan dan ada yang bergelut bertahan di mana-mana tempat kerja dengan harapan aliran wang tidak terputus.
Baru-baru ini, seseorang yang penulis kenali mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan daripada pekerjaannya.
Pada mulanya, ahli keluarganya mempersoalkan keputusan individu itu yang dianggap tidak relevan dalam waktu semua orang berlumba-lumba mahukan pekerjaan.
“Kamu tidak tahu bersyukur, orang di luar sana begitu harapkan pekerjaan. Kamu yang ada pekerjaan stabil, mahu berhenti pula,” getus salah seorang ahli keluarganya.
Penulis yang mendengar sendiri lontaran kata-kata itu terdiam sebentar. Melihat kepada individu itu yang hanya diam dan membisu membuatkan penulis tertanya-tanya, benarkah keputusan berhenti kerja dibuat atas dasar tidak bersyukur sahaja?
Pendakwah bebas, Ustaz Aizuddin Kamarul Zaman berkata, konsep bersyukur atau tidak ini terlalu luas untuk difokuskan hanya pada seorang manusia dan satu situasi.
“Soal syukur atau tidak adalah soal hati, maka hanya Allah SWT yang tahu setakat mana nilai syukur seseorang itu. Mungkin pada mata kasar, berhenti kerja di saat keadaan sekarang yang meruncing dianggap tidak bersyukur.
“Namun untuk bertahan dalam mana-mana keadaan sekalipun, jika mendatangkan kesan yang buruk dan besar seperti menjejaskan kesihatan, menimbulkan pergaduhan dalam rumah tangga dan juga apa-apa kesan mudarat lebih banyak daripada yang baik, keputusan berhenti itu adalah benar dan betul,” jelasnya.
Berbalik kisah individu tadi, apabila ditanya punca sebenar dia nekad berhenti kerja, katanya hatinya sudah tawar untuk terus berkhidmat.
Tekanan tempat kerja mengganggu kehidupan bersama keluarga, menjadikanya bergelut dengan depresi dan dia sudah tiada daya untuk bertahan.
Sebelum menjadi gila, lebih baik dia berhenti. Walaupun keputusan itu diambil di saat orang lain sedaya upaya mengekalkan pekerjaan tetapi hatinya yakin, itu yang lebih baik.
Sedangkan tempat jatuh lagi dikenang, apatah lagi tempat yang menyalurkan rezeki daripada Tuhan.
Meletakkan jawatan dengan alasan tekanan atau tidak tahan ‘dibuli’ di tempat kerja sering dianggap perkara remeh dan lemah oleh kebanyakan majikan.
Namun masalah jiwa bukan satu penyakit yang boleh dipandang dengan sebelah mata. Jika sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan hampir empat bulan pun, ramai yang memilih meragut nyawa sendiri kerana tidak tahan dengan tekanan.
Apatah lagi perasaan yang dipendam selama bertahun-tahun dan tidak terbela.
Ini tidak bermaksud kerja tidak boleh ada tekanan tetapi setiap hal itu, andai berlebihan maka akan merosakkan semuanya.
Hidup adalah pilihan maka pilihlah. Jangan tuding jari kepada orang hanya kerana mereka tidak bersetuju dengan pilihan kita.
Buat mereka yang memilih melepaskan pekerjaan di saat saat genting seperti ini demi asbab kesejahteraan diri dan hati, jangan rasa diri tidak bersyukur atas pandangan yang dilontarkan orang lain.
Kerana soal syukur adalah urusan hati dan hanya layak diurus oleh diri kita sendiri. Bersyukurlah saat kita diuji kerana di dalamnya terkandung hikmah.