KOTA BHARU – Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu telah mengeluarkan sebanyak 236 kompaun kepada individu yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang bulan Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, daripada jumlah tersebut, kawasan sekitar bandar ini mencatatkan jumlah kompaun yang paling banyak berbanding tempat lain iaitu 107.
Katanya, sebanyak 125 kompaun dikeluarkan atas kesalahan tidak memakai pelitup muka, tidak mengimbas aplikasi MySejahtera (63), tiada penjarakan fizikal (24), premis tidak menyediakan penyukat suhu (9), membuka premis lebih masa (8) dan makan minum di kedai (7).
“Hasil pemantauan yang dilakukan oleh pegawai dan anggota, penduduk di kawasan Melor di sini dilihatmematuhi SOP selain Kok Lanas dan Binjai.
“Kita juga mendapati kompaun tidak memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam dan tidak mengimbas aplikasi MySejahtera menjadi kesalahan yang sering dilakukan oleh orang ramai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.-K! ONLINE