PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas 894,463 juta batang rokok bernilai RM74.96 juta membabitkan jumlah cukai sebanyak RM661.9 juta sepanjang tahun lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, rampasan itu adalah daripada
2,104 kes yang direkodkan pada tahun lepas dengan peningkatan sebanyak 84.41 peratus dari segi bilangan batang rokok yang dirampas berbanding tahun sebelumnya.
“Berbanding tahun 2019, ini juga merupakan peningkatan sebanyak 83.41 peratus peningkatan dalam nilai rampasan rokok dan peningkatan sebanyak 84.41 peratus bagi duti serta cukai terlibat,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Abdul Latif menyampaikan ucapan sempena sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-39 tahun 2021 bertemakan ‘Kastam Mendukung Pemulihan, Pembaharuan Dan Ketahanan Demi Rantaian Bekalan yang Mampan’ menerusi saluran Facebook Live JKDM.
Sementara itu, Abdul Latif berkata, tahun lalu juga, JKDM berjaya membuat rampasan sebanyak 1.74 juta liter minuman keras dianggarkan bernilai RM22.36 juta serta duti cukai terlibat berjumlah RM45.24 juta.
Katanya, ia diperoleh daripada 738 kes melibatkan minuman keras dan bir sepanjang tahun lepas. -K! ONLINE