LONDON – Pelumba Alpha Tauri, Pierre Gasly yang disahkan positif Covid-19 mengakui dalam keadaan sihat dan tidak berputus asa untuk melakukan persiapan menjelang perlumbaan Formula Satu (F1) yang membuka tirai pada 28 Mac di Bahrain nanti.
Gasly menjadi pelumba keenam dijangkiti wabak tersebut ketika ini selepas Sergio Perez, Lance Stroll, Lewis Hamilton, Lando Norris dan Charles Leclerc pernah dijangkiti Covid-19 sebelum ini.
“Saya ingin jelaskan bahawa saya disahkan positif Covid-19. Saya telah memberitahu rakan, kenalan rapat termasuk individu yang pernah berjumpa saya dalam tempoh terdekat ini.
“Kini saya sedang menjalani kuarantin dan mengikuti protokol yang telah ditetapkan pihak kesihatan. Secara keseluruhan keadaan saya baik dan akan menjalani latihan di rumah,” katanya.
Ketua pasukan Mercedes, Toto Woff dan pemilik pasukan Aston Martin, Lawrence Stroll turut dikesan dijangkiti positif Covid-19.
Perlumbaan pembuka tirai akan bermula di Bahrain pada 28 Mac ini berikutan Grand Prix (GP) Australia terpaksa ditunda selepas Australia enggan mengambil risiko menganjurkannya.
F1 dijangka bermula di Bahrain dengan kawalan protokol yang ketat bagi mengekang penularan wabak tersebut. – AGENSI