fbpx

80 peniaga diberi notis naikkan harga sesuka hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG anggota penguatkuasa KPDNHEP Johor melakukan pemeriksaan dalam Ops Pasar 2021 sekitar Johor Bahru, Johor semalam.

JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri mengeluarkan notis kepada 80 peniaga di negeri ini kerana menaikkan harga barang dalam Ops Pasar 2021 yang diadakan sejak awal tahun hingga hari ini.

Pengarah KPDNHEP negeri Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, sebanyak 1,362 premis telah diperiksa meliputi 1,193 peruncit, 136 pemborong dan 33 pengilang bagi seluruh daerah di negeri ini.

Katanya, notis yang diberikan kepada peniaga itu di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bagi tujuan siasatan lanjut untuk mendapatkan maklumat kenaikan harga yang berlaku dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

“Operasi ini bertujuan memantau kenaikan harga barangan keperluan utama rakyat seperti sayur-sayuran, ikan, daging dan sebagainya di peringkat pembekalan barang secara berterusan mengikut rantaian pengedaran.

“Susulan daripada pemeriksaan ini, peniaga yang disyaki melakukan aktiviti mencatut akan disiasat dan sekiranya sabit kesalahan akan diambil tindakan di bawah Seksyen 14 akta yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Hairul Anuar berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan kenaikan beberapa jenis barangan keperluan harian seperti barang basah dan barang segar terutamanya di lokasi tumpuan iaitu di pasar-pasar awam, dan pasar basah sejak akhir-akhir ini.

Katanya, perkara itu berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sejak 13 Januari lalu hinga 4 Februari ini.

Sehubungan itu, katanya, KPDNHEP negeri telah menjalankan pemeriksaan ke atas semua jenis pasar seperti pasar basah, pasar awam, pasar tani dan juga pasaraya yang menjual barangan basah dan segar dalam Ops Pasar 2021.

Beliau berkata, seramai 200 anggota penguatkuasa KPDNHEP negeri ini akan sentiasa memantau dan melaksanakan pemeriksaan agar bekalan barangan keperluan harian adalah mencukupi bagi rakyat Johor.

Mohd. Hairul, pemeriksaan akan dibuat dengan memeriksa maklumat harga dan kos barangan di peringkat pembekalan barangan yang terdiri daripada peruncit (pasar basah, pasar awam dan pasaraya) dan pembekal (pemborong ,peladang, pengeluar, pengimport) agar tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.

Katanya, para pengguna juga dinasihatkan agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan nasihat kesihatan yang ditekankan terutamanya ketika keluar mendapatkan barangan keperluan harian.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI