SIAPA sangka dengan hanya memegang watak pelakon pembantu dalam drama yang sedang popular Takdir Yang Tertulis, nama Iman Suhana mula meniti di bibir peminat.
Seperti satu keajaiban, namanya meledak naik dalam tempoh seminggu selepas drama arahan Shahrul Ezad Mohamedin tersebut mula ditayangkan di TV3.
Aksinya yang bersahaja sebagai Rozita atau Ita semakin mendapat perhatian selepas beberapa babak lakonannya seperti ‘susu strawberi Ita’ dan ‘suami imaginasi Ita’ tular dan mencuit hati netizen dalam media sosial.
Ikuti temu bual HibGlam bersama pemilik nama Norsuhana Mohamad Wahid, 31, itu bagi mengulas ‘kekecohan’ Ita dalam drama berkenaan.
HIBGLAM: Apa komen Iman apabila watak Ita menjadi bualan ramai walaupun hanya sebagai pelakon pembantu?
Sejujurnya saya tidak sangka watak sebagai Ita berjaya mencuri perhatian penonton drama Takdir Yang Tertulis. Lebih mengejutkan, banyak babak saya tular dalam media sosial terutama seperti ‘susu strawberi Ita’. Apabila saya tonton semula, memang kelakar.
Jujurnya saya tidak kisah pun dengan gelaran pelakon utama atau tambahan, sebab saya percaya ini semua kerja berpasukan. Bagi saya, semua orang telah memberikan kerjasama yang baik dan semaksimum yang boleh.
Boleh kongsikan apakah antara komen daripada netizen pernah anda terima. Adakah negatif atau sebaliknya?
Baru seminggu drama ini ditayangkan, Instagram saya mula meriah dengan komen netizen. Tetapi setakat seminggu ini, saya tidak pernah lagi dapat komen negatif atau kecaman daripada netizen.
Kata mereka, walaupun watak Ita jahat, mereka tak jadi marah bila dengar dialog saya. Jahat tapi kelakar!
Ada yang memuji lakonan anda dalam drama berkenaan. Komen?
Alhamdulillah memang ramai yang puji dan suka dengan lakonan saya. Kiranya penat lelah saya sepanjang berada di set penggambaran berbayar apabila ramai menghargai bakat saya.
Hasilnya sangat berbaloi. Walaupun pada mulanya pengarah kata dia tak puas hati dengan apa yang saya beri tetapi lama kelamaan selepas banyak tunjuk ajar diberi, akhirnya berhasil.
Adakah anda menjadikan mana-mana watak sebagai rujukan?
Membawakan watak antagonis tapi pada masa yang sama seorang ‘bimbo’ atau sengal bukanlah perkara mudah. Selepas menerima tawaran tersebut, saya terus buat sedikit kerja rumah dengan menonton semula lakonan pelakon hebat lain seperti Sharifah Sakinah, Didie Alias dan Amyza Aznan.
‘Kerja rumah’ yang saya lakukan memang sangat berbaloi dan membantu untuk saya lebih menghayati watak Ita dengan baik.
Kemunculan dalam drama ini membuatkan nama anda kembali mekar sebagai pelakon, komen?
Selepas menjayakan watak Melina dalam drama Monalisa sekitar tahun 2018, ramai yang sudah mengenali tetapi tidak lama kemudian, saya bersalin anak pertama. Ketika itu saya berehat sebentar daripada kerjaya seni dan kini saya kembali beraksi.
Apapun saya memang berterima kasih kepada pihak produksi Radius One Sdn. Bhd. kerana memberi peluang dengan menawarkan watak ini kepada saya.
Walaupun pada awalnya pengarah memang kurang berpuas hati dengan lakonan saya tetapi akhirnya semua penat lelah membuahkan hasil selepas ramai yang memuji watak itu.
Selepas ini apa projek terbaharu anda?
Insya-Allah saya akan memulakan penggambaran untuk sebuah drama arahan Amorizan tetapi semuanya masih dalam perbincangan. Segalanya bergantung kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sekarang pun saya masih ada lagi pengambaran yang tertunda iaitu Love, Elsa arahan Michael Ang. Masih belum tahu bila akan boleh mulakan penggambaran.