TAMPIN – Seorang warga emas tidak menyangka rasa sakit dan berdengung yang dialami pada telinga kanannya sejak enam bulan lalu adalah petanda dia menghidap penyakit barah kelenjar air liur.
Warga emas berkenaan, Norhaini Abas, 65, disahkan menghidapi penyakit berkenaan oleh pakar perubatan Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah pada November lalu selepas pemeriksaan di Klinik Komuniti Rompin yang mendapati terdapat ketulan dalam telinganya.
Norhaini kini dijaga anak tunggalnya, Mohd. Syawal Ham, 29, dengan bantuan cucu saudaranya, Norus Suhaili, 32, selepas mendapat rawatan di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya, bermula 4 Januari hingga 26 Januari lalu.
Menurut Norus, Norhaini atau dipanggil Uwan ada mengadu sakit di bahagian telinga semasa Hari Raya Aidiladha tahun lalu, namun mereka sekeluarga tidak menyangka rasa sakit itu petanda kanser tahap 4.
“Uwan pernah beritahu mak saya, telinganya sakit, namun sangkaan kami ia sakit biasa. Bagaimanapun, hasil pemeriksaan di beberapa klinik termasuk Hospital Tuanku Ampuan Najihah mendapati dia menghidap kanser.
“Nenek saudara saya dimasukkan ke IKN dan perlu menjalani rawatan kimoterapi serta pembedahan di bahagian telinga.
“Sejak keluar hospital pada Khamis lalu, saya membantu Mohd. Syawal menjaga Norhaini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Besar di sini semalam.
Bercerita lanjut, Norus berkata, Norhaini kini hanya minum susu khas yang diberi pihak hospital selain memerlukan perbelanjaan tinggi bagi kos ubatubatan dan lampin pakai buang setiap bulan.
“Buat masa ini, pendapatan keluarga termasuk perbelanjaan Norhaini bergantung sepenuhnya kepada gaji Mohd. Syawal sebagai pekerja di sebuah pasar raya di Gemas dan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Kami telah memohon bantuan daripada Baitulmal bagi menampung perbelajaan perubatan Uwan. Selain itu, kami juga memerlukan katil bagi keselesaannya setiap hari,” jelasnya.
Bagi yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional 0113-5290-0009-6151 atas nama Norhaini Abas.