SELEPAS kontroversi GOT7 memilih meninggalkan agensi JYP Entertainment (JYPE) berlaku beberapa minggu lalu, keresahan peminat yang mahu mengetahui hala tuju semua anggota kumpulan itu perlahan-lahan terjawab.
Salah seorang anggotanya iaitu Park Jinyoung disahkan telah menyertai BH Entertainment seperti dalam kenyataan yang dikeluarkan agensi tersebut.
“Kami telah menandatangani kontrak eksklusif bersama Jinyoung. Kami akan menyokong penuh perjalanan kariernya dengan pengurusan yang sistematik.
“Jadi dia akan dapat meneruskan aktiviti seninya sebagai penyanyi dan pelakon dengan baik,” kata agensi berkenaan.
BH Entertainment cukup dikenali sebagai agensi naungan barisan artis popular seperti Lee Byunghun, Kim Goeun, Park Bo-young, Lee Jiah, Lee Jin-wook dan Han Hyo-joo.
Selain Jinyoung, beberapa anggota GOT7 lain dilaporkan terus memacu karier masing-masing dengan perancangan tersendiri.
Misalnya seperti Jackson dan Mark Tuan yang dilaporkan akan muncul dengan single baharu tidak lama lagi.