fbpx

Prihatin Mart bantu ringan beban rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU TERENGGANU – Pusat Khidmat Parlimen Hulu Terengganu mengambil inisiatif mewujudkan Prihatin Mart yang merupakan kedai runcit bergerak menjual barangan keperluan dengan harga sehingga 30 peratus lebih murah daripada pasaran.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, Prihatin Mart merupakan projek komuniti yang bertujuan membantu meringankan beban sara hidup penduduk daerah tersebut sewaktu tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, kedai runcit bergerak berkenaan menyediakan 91 barangan keperluan asas termasuk gula, beras, minyak masak dan tepung gandum.

“Kita cakna dengan nasib ramai rakyat terutama dalam kalangan golongan B40 yang terkesan dan terjejas pendapatan ekoran penularan pandemik Covid-19 ini.

“Harga barangan keperluan asas dijual dengan harga sehingga 30 peratus lebih murah daripada pasaran. Sebagai contoh, sekampit beras seberat 10 kilogram (kg) yang berharga RM26 dijual pada harga RM18 sahaja di Prihatin Mart,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas memantau operasi hari pertama Prihatin Mart berkenaan di Dataran Padang Kacung, Kuala Telemong di sini hari ini.

Rosol berkata, kedai runcit bergerak tersebut akan beroperasi seminggu sekali dengan meliputi satu daripada empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Hulu Terengganu bermula dengan Telemong.

Ujar beliau, Prihatin Mart selepas ini akan diadakan di DUN Kuala Berang sebelum kemudiannya ke Manir dan Ajil bagi memberi peluang kepada sebanyak mungkin penduduk di Parlimen tersebut menikmatinya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI