SEPANG – Pegawai dan anggota polis perlu sentiasa mengikuti perkembangan semasa arahan yang dikeluarkan kerajaan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Aduan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Mohd. Hanafiah Arshad berkata, hal itu penting supaya tidak timbul sebarang isu membabitkan aduan daripada orang awam.
“Bukan mahu salahkan anggota jika arahan itu sentiasa berubah tetapi anggota bertugas perlu sentiasa mengikuti perkembangan terkini supaya tidak timbul sebarang isu,” katanya ketika mengadakan lawatan ke lokasi sekatan jalan raya (SJR) Salak – Nilai dalam Program ‘General Turun Padang’ di sini hari ini.
Sementara itu, Hanafiah berkata, aduan mengenai ketidakpuasan hati orang ramai terhadap petugas-petugas keselamatan kerana bercakap kasar ketika melalui SJR banyak diterima sejak PKP pertama dilaksanakan Mac tahun lalu.
“Begitu pun, kebelakangan ini kurang aduan sedemikian diterima kerana mungkin orang awam memahami situasi petugas yang perlu bekerja dalam keadaan panas.
“Dalam hal ini, tidak boleh menyalahkan polis semata-mata dan orang awam perlu sama bertolak ansur,” katanya.
Selain itu, katanya, aduan mengenai kesesakan lalu lintas ketika waktu puncak turut diterima orang awam yang mahukan dua laluan dibuka.
“Polis juga mengambil maklum aduan tersebut dan disalurkan kepada KPD atas kebijaksanaan menimbang akan kesesuaian,” katanya. -K! ONLINE