BACHOK – Mayat seorang lelaki yang sudah reput ditemui mati dalam keadaan tergantung dipercayai sejak lima hari lalu di sebuah rumah di Jalan Bekelam, Kampung Banggol Pauh di sini petang semalam.
Lelaki yang berusia 43 tahun itu ditemui oleh penduduk kampung selepas terhidu bau busuk dari rumah berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok,Asisten Suprintendan Mohd. Yusrizal Mohd.Ghazali berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4.10 petang dan bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan pemeriksaan.
Katanya, selepas menjalankan pemeriksaan, polis menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan tergantung dengan tali berhampiran ruang dapur rumahnya.
“Siasatan mendapati, mangsa yang merupakan seorang penganggur dipercayai sudah meninggal dunia sejak empat hingga lima hari berdasarkan keadaan fizikal mayat yang telah reput.
“Pemeriksaan di sekitar luar rumah bagaimanapun tidak menjumpai sebarang objek yang mencurigakan yang boleh mengaitkan dengan kematian mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mohd. Yusrizal berkata, siasatan awal turut mendapati mangsa tinggal bersendirian di rumah pusaka milik keluarganya sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk bedah siasat.
“Berdasarkan hasil bedah siasat, doktor mengesahkan punca kematian disebabkan oleh kekurangan oksigen dalam badan mangsa.
“Siasatan mengenai kejadian itu sedang dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. -K! ONLINE