KUALA LUMPUR – Pengasas syarikat Raihanah Cold Storage Sdn. Bhd. memfailkan saman menuntut ganti rugi RM150 juta terhadap seorang pemilik akaun Facebook yang didakwa menerbitkan kenyataan memfitnah membabitkan isu kartel daging import tidak halal tahun lalu.
Rahman Sheikh Abdullah, 45, dan isterinya Raihanah Kasim, 43, yang juga Pengarah Raihanah Cold Storage dan syarikat itu, selaku plaintif pertama hingga ketiga, memfailkan saman itu menerusi Tetuan J.S. Pillay & Mohd. Haaziq di Mahkamah Tinggi di sini pada 27 Januari lalu dengan menamakan Abd. Zarin Mohd. Yasin sebagai defendan tunggal.
Dalam pernyataan tuntutan itu, plaintif mendakwa defendan telah membuat, menyiarkan dan menerbitkan satu kenyataan fitnah dalam akaun Facebook miliknya sekitar Disember 2020 yang mengandungi foto plaintif pertama (Rahman) termasuk nama penuh dan nombor kad pengenalan plaintif kedua (Raihanah).
Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud mereka mengedar atau menjual daging atau daging lembu tidak halal selain mendakwa syarikat tersebut mengamalkan taktik perniagaan berniat jahat dengan menukar bungkusan daging yang tidak halal dan membungkusnya semula sebagai daging halal untuk penjualan atau pengedaran.
Ketiga-tiga plaintif juga mendakwa mereka tidak pernah terbabit dalam membawa, mengimport atau menyeludup daging atau daging lembu tidak halal ke Malaysia.
Plaintif juga tidak pernah membungkus semula daging atau daging lembu tidak halal sebagai daging halal.
Selain itu, ketiga-tiga plaintif turut menafikan terbabit dalam amalan rasuah dengan Jabatan Kastam atau sebarang pihak berkuasa semasa berurusan dalam pengedaran atau penjualan daging halal.
Menurut plaintif, kenyataan fitnah itu dibuat tanpa sebarang asas, berniat jahat dan mencemarkan reputasi.
Juteru, ketiga-tiga plaintif masing-masing menuntut ganti rugi am sebanyak RM50 juta daripada defendan dan memohon mahkamah mengeluarkan perintah bagi menghalang defendan daripada mengulangi, menerbitkan atau menyiarkan sebarang kenyataan fitnah dalam media sosial, forum atau akhbar.
Sementara itu, peguam Datuk Mohd. Haaziq Pillay Abdullah, ketika dihubungi, berkata tarikh 26 Februari ditetapkan sebagai pengurusan kes secara dalam talian (e-Review) di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Shuhada Ramli.-K!ONLINE