fbpx

‘Kalau Abang Johan masih ada, mesti dia gembira’ – Nora terima gelaran Datuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yusri, Habsah dan Nora.

PETALING JAYA – Penyanyi Nora Ariffin, penulis lirik tersohor, Habsah Hassan dan Yusri KRU menjadi antara penerima pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) oleh yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan hari ini , sekali gue yang membawa gelaran Datuk.

Menurut Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Ariffin, 48, ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, beliau bersyukur dengan penganugerahan yang diterimanya itu.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT. Kalau abang Johan (suaminya) masih ada, dia pasti akan gembira dengan anugerah ini.

“Ini adalah satu amanah, tanggungjawab dan peniup semangat untuk saya terus berjuang dalam bidang seni budaya,” kata pelantun lagu Persimpangan Dilema itu.

Suami Nora, Allahyarham Johan Nawawi yang juga seorang komposer ternama tanah air meninggal dunia pada pada usia 52 tahun empat tahun lalu.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Mohd. Syakir Iman, Mohd. Syakir Alif, Putri Nur Dahlia dan Putri Nur Fateha.

Bagaimanapun, anak kedua mereka, Mohd. Syakir Alif meninggal dunia pada 14 Disember 2019.

Sementara itu, Habsah Hassan atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Chah, 72, berkata, penganugerahan tersebut menjadi pembakar semangat untuknya mencurahkan jasa dalam bidang seni tanah air.

“Saya berada dalam bidang seni terutama dalam bidang penulisan skrip dan lirik sejak sekitar 50 tahun lalu.

“Ini adalah kurniaan yang amat istimewa. Saya menjunjung kasih atas kurniaan daripada baginda. Tentu sekali anugerah kebesaran ini akan memberi motivasi kepada saya untuk terus berkarya,” kata penulis lirik yang sudah menghasilkan ribuan karya itu.

Selain Nora dan Habsah, penyanyi dan juga pengarah kreatif yang menjadi pelopor industri perfileman menggunakan imej janaan komputer (CGI), Yusry KRU atau nama sebenarnya Yusry Abd. Halim, 48, turut menerima penganugerahan yang membawa gelaran Datuk itu.

Nora, Habsah dan Yusry merupakan antara 335 penerima Darjah Kebesaran, Pingat dan Bintang Wilayah Persekutuan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan, pengurniaan itu adalah sebagai menghargai sumbangan besar penggiat seni dan budaya terhadap lapangan mereka.

Menurut Annuar, tarikh penyempurnaan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan bagi tahun ini sedang ditentukan mengambil kira situasi semasa penularan pandemik Covid-19. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI