fbpx

Dulu pengurus produksi, kini Aidilia Hilda jadi penyanyi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AIDILIA HILDA

KATA orang, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Bermula dengan kerja menguruskan hal-hal produksi seni, kini dia pula yang diuruskan sebagai anak seni. Begitulah transisi kerjaya pelantun lagu Tak Mau Mau, Aidilia Hilda yang dahulunya menggalas peranan sebagai pengurus produksi sebelum beralih kerjaya menjadi penyanyi.

Bakat dan kecintaannya terhadap muzik pantas menarik sebuah label untuk meletakkan wanita berusia 26 tahun itu bawah naungan Rusa Music.

Dia yang dahulunya mempamerkan bakat seni suara hanya dengan memuat naik video nyanyian semula atau ‘cover’ beberapa lagu popular dalam media sosial kini sudah memiliki single sendiri.

Secara peribadi, pemilik nama Aidilia Hilda Abdul Halim itu tidak menjangka akan bergelar penyanyi saat masih berkhidmat sebagai pengurus produksi. Namun, pada masa sama dia tidak menafikan keinginannya bergelar anak seni.

SALAM perkenalan Aidilia Hilda dalam industri seni suara dimulakan dengan single debut berjudul Tak Mau Mau.

“Peralihan kerjaya daripada seorang pengurus produksi menjadi penyanyi sejujurnya tidak direncanakan. Saya bersyukur dan berterima kasih kerana memberi peluang untuk mempamerkan kebolehan dan bakat terpendam,” tutur Aidilia seraya ketawa.

Saat ditebak sama ada wujud sangsi tentang keputusan bergelar penyanyi, anak kedua daripada tiga beradik itu pantas membalas, dia sedia berdepan sebarang kemungkinan mendatang.

Sedari natijah yang perlu ditanggung sementelah negara kita masih dilanda penularan pandemik Covid-19, dalam nada bersahaja, dia menzahirkan pandangan optimis.

Aidilia berpegang teguh pada pendirian bahawa setiap individu sudah ditentukan takdir dan rezeki masing-masing.

Meskipun dahulunya dia memperoleh gaji tetap setiap hujung bulan, kini sumber pendapatannya bergantung 100 peratus terhadap muzik dan nyanyian.

MEMILIH untuk memperkenalkan bakat nyanyiannya menerusi lagu berentak santai, Aidilia selesa kerana genre sebegitu kurang dinyanyikan oleh penyanyi lain ketika ini.

“Setiap keputusan pasti ada baik dan buruknya. Namun, saya percaya kepada rezeki, bakat dan usaha keras dalam melakukan sesuatu perkara. Sekiranya kita berusaha keras tanpa mengalah. Insya-Allah kita pasti akan memperoleh hasil yang baik.

“Paling utama ialah doa dan sokongan daripada keluarga. Sejujurnya saya berterima kasih kepada mereka yang menyokong keputusan untuk beralih bidang termasuk tidak lagi bergantung terhadap pendapatan tetap.

“Disebabkan itu saya akan berusaha bersungguh-sungguh agar tidak menghampakan mereka, sekali gus menghasilkan karya berkualiti dan disegani dalam industri hiburan,” terang Aidilia penuh semangat.

Tiada kisah peribadi

Sudah namanya menjadi artis apabila kisah peribadi mereka sering diambil tahu oleh khalayak. Meskipun ada sebahagian selebriti menzahirkan pendekatan tidak mahu menjaja kisah peribadi, tetapi aspek sebegitulah yang mudah meraih perhatian umum.

Bercakap soal pengaruh publisiti kisah peribadi dalam kerjaya seseorang artis, Aidilia bagaimanapun memiliki pandangan tersendiri.

AIDILIA pernah muncul dalam video muzik lagu Zalikha nyanyian Floor 88 pada 2017. Pada masa sama dia juga menyimpan hasrat untuk berduet dengan kumpulan terbabit.

Baginya kisah peribadi lebih baik menjadi simpanan sendiri berbanding dicanang semata-mata demi meraih perhatian umum.

Aidilia percaya kisah peribadi merupakan perkara berbeza dengan kerjaya meskipun sudah bergelar selebriti. Dia juga mahu khalayak mengenalinya menerusi bakat dan bukan hanya kerana gosip.

“Kisah peribadi adalah privasi. Justeru saya tidak campur aduk dengan kerjaya. Jika ada orang tanya, saya lebih selesa mendiamkan diri daripada membicarakan kepada umum.

“Mempromosikan bakat lebih penting kerana itu tujuan asal saya bergelar anak seni,” ujarnya bersahaja.

Bukan ciplak

Melanjutkan cerita tentang aktiviti seni, kini muzik video lagu Tak Mau Mau sedang mendapat perhatian khalayak apabila mendapat mencatat hampir dua juta tontonan dalam YouTube.

Menjadikan catatan tersebut sebagai pencapaian luah biasa buat dirinya, Aidilia meletakkan harapan agar single Tak Mau Mau akan membuka peluang lebih besar buatnya dalam industri.

Dihasilkan oleh Achoi Floor 88 dan Oja, lagu Tak Mau Mau menjadi single debut buatnya dalam mengejar cita-cita sebagai penyanyi.

AIDILIA enggan mengulas lanjut mengenai single Tak Mau Mau dikatakan mirip lagu Learn To Meow Meow. Dia menyerahkan hal tersebut kepada pencipta lagu untuk memberi penjelasan.

Bagaimanapun, sudah adat menjadi artis, Aidilia tidak terlepas daripada skeptikal apabila timbul cerita mendakwa singlenya kedengaran sama dengan lagu Learn To Meow Meow nyanyian penyanyi dari China, Xiao Pan Pan dan Xiao Feng Feng yang dilancarkan dua tahun lalu.

Sedar tentang dakwaan yang berlegar, wanita yang mesra disapa sebagai Alia itu bagaimanapun tidak mudah melatah. Sebaliknya dia menyerahkan hal berkenaan kepada pencipta lagu.

“Tugas saya menyanyikan lagu tersebut dan individu yang wajar memberi penjelasan lanjut adalah pencipta.

“Saya percaya muzik bersifat universal. Melodi lagu Tak Mau Mau juga berbeza dengan Learn To Meow Meow.

“Saya sendiri berasa terkejut apabila ada yang mengatakan kedua-dua lagu itu sama,” luah Aidilia mengenai lagu yang semakin menuai perhatian pengguna TikTok tersebut.

LAGU Tak Mau Mau nyanyian Aidilia juga terpilih bekerjasama dengan TikTok Malaysia sehinggakan tular cabaran #TakMauMauChallenge dalam kalangan peminat aplikasi terbabit.

Populariti lagu Tak Mau Mau dalam TikTok secara tidak langsung membuka laluan untuk Aidilia dikenali terutama pengguna media sosial.

Selain berbakat dalam bidang nyanyian, graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu turut memiliki bakat lakonan. Atas sokongan Rusa Music, Aidilia turut memberi pendedahan ilmu lakonan menerusi Rusa After Class dalam platform YouTube.

Lakonan

Tidak menafikan keinginannya untuk bergelar pelakon, siswazah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Fakulti Filem, Teater dan Animasi itu bagaimanapun mahu lebih fokus terhadap nyanyian sebelum bersedia terjun ke bidang lakonan.

“Tidak dinafikan keinginan untuk serius itu ada tetapi lebih baik fokus kepada satu-satu perkara dalam satu masa,” jelasnya mengenai perancangan masa depan.

Aidilia turut meluahkan hasrat untuk bergandingan dengan selebriti versatil seperti Alif Satar.

DARIPADA bergelar pengurus produksi dan kini menjadi penyanyi, Aidilia juga menyimpan hasrat bergelar penerbit suatu hari nanti.

Katanya, bapa kepada tiga orang itu memiliki daya tarikan tersendiri termasuk kehebatan sebagai pelakon, penyanyi mahupun pengacara.

“Saya meminati Alif Satar bukan kerana pakej lengkap yang dimilikinya tetapi dia seorang yang sangat berbakat selain memiliki personaliti menarik.

“Diharapkan suatu hari ini saya bukan sahaja dapat bergandingan dalam drama atau filem tetapi turut berpeluang untuk berduet dengannya,” luah Aidilia yang begitu mengagumi figura popular terbabit.

Dalam tempoh lima tahun akan datang, Aidilia meletakkan sasaran lebih tinggi. Jika boleh, dia mahu bergelar sebagai penerbit, sama ada karya muzik atau naskhah televisyen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI