HULU SELANGOR – Selepas tiga jam mencari, bomba akhirnya berjaya menemui dua mangsa lemas yang terjunam bersama kereta di dalam Tasik Biru, Jalan Kampung Setia, Batu Arang di sini hari ini.
Kedua-dua mangsa yang berusia 30 an tersebut lemas selepas kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam tasik berkenaan sekitar pukul 6 petang.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Norazam Khamis berkata, bomba menerima panggilan kejadian kira-kira pukul 6.10 petang dan tiba di lokasi 20 minit kemudian.
“Kita dapati kemalangan itu melibatkan sebuah kereta telah terbabas ke dalam tasik. Mengikut maklumat polis terdapat dua orang mangsa dalam kenderaan terbabit.
“Justeru itu, pihak bomba menggerakkan usaha mengesan kedua-dua mangsa, mereka yang sudah meninggal dunia itu akhirnya ditemui sekitar pukul 9.01 malam,” ujarnya. -K! ONLINE