PETALING JAYA – Bukan setakat dibenci dan disumpah-seranah akibat menjayakan watak antagonis sebagai Ruhila menerusi drama Takdir Yang Tertulis, lebih teruk lagi pelakon Datin Elvina Mohamad turut digelarkan sebagai pelacur oleh segelintir netizen.
Katanya, gelaran tersebut dilemparkan susulan watak dipegangnya itu berkahwin dengan Azlan lakonan Nazim Othman yang merupakan suami kepada kawan baiknya sendiri iaitu Juweeta (Nad Zainal).
Elvina atau nama sebenarnya, Norzalina Mohamad, 26, memberitahu ramai netizen yang melepaskan geram dengan melemparkan komen negatif dalam media sosial miliknya.
“Ya, rata-rata penonton drama itu sangat beremosi dengan watak Ruhila kerana menjadi duri dalam daging. Malah, ramai cakap kejahatan Ruhila tersembunyi di sebalik wajahnya yang lembut itu.
“Ada yang terbawa-bawa emosi marah mereka sehingga meninggalkan komen yang tidak sepatutnya seperti mengggelarkan saya sebagai pelacur dan itu sedikit melampau bagi saya,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Ujar pelakon yang pernah mencipta nama menerusi drama Seadanya Aku itu, dia merasakan penonton sepatutnya bijak mengawal emosi mereka agar tidak menulis sebarang komen negatif kepada para pelakon.
“Rasanya komen-komen negatif seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana semuanya hanyalah drama.
“Mereka sepatutnya bijak membezakan antara lakonan dan realiti,” ujarnya.
Bagaimanapun, Elvina memberitahu dia tidak merancang untuk mengambil sebarang tindakan terhadap segelintir netizen yang menulis komen melampau.
“Saya biarkan saja semua komen itu tetapi jika sudah melampau atau terlalu negatif, saya terus sekat akaun mereka.
“Sebab saya tiada masa hendak layan semua ‘toxic people’,” katanya lagi.
Elvina turut menyifatkan komen-komen netizen membuktikan keberkesanannya menjayakan karakter tersebut.
“Memang dapat banyak komen negatif tetapi jika dilihat dari sisi lain, perkara itu menunjukkan lakonan saya berjaya memberi impak kepada emosi penonton.
“Sebenarnya watak ini bukan antagonis yang perlu menjadi gedik atau mulut jahat tetapi lebih kepada duri dalam daging, tapi alhamdulillah semuanya berhasil,” katanya lagi.
Terdahulu, Takdir Yang Tertulis arahan SharulEzad Mohamedin itu menjadi buah mulut netizen dalam media sosial selepas barisan pelakonnya memberikan lakonan mantap.
Selain Elvina, Nad dan Nazim, drama yang kini ditayangkan menerusi slot Samarinda TV3 itu turut membariskan Alvin Chong, Didie Alias dan Iman Suhana. – K! ONLINE