ROM – Presiden Majlis Olimpik Itali (CONI), Giovanni Malago mengesahkan bahawa atlet kebangsaan negara itu tidak mungkin diberikan keistimewaan untuk mendapatkan vaksin Covid-19 bagi mengharungi temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo yang dijadualkan pada Julai depan.
Sebagai rekod, beberapa negara Eropah seperti Hungary, Serbia dan Israel telah memberikan suntikan vaksin buat atlet kebangsaan yang dijangka selesai pada Mei depan sekali gus membolehkan mereka mengharungi saingan di peringkat antarabangsa.
Malago mengesahkan keputusan itu dibuat kerana tiada arahan wajib yang diberikan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menerusi presidennya, Thomas Bach yang mengakui pihaknya tidak boleh mendesak kerajaan untuk memberikan vaksin lebih awal buat atlet.
Kata Malago, ramai warganegara Itali yang lebih berhak untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 berbanding atlet yang sememangnya memiliki fizikal yang sihat memandangkan kuantiti vaksin yang dibekalkan oleh kerajaan tidak mampu menampung permintaan yang tinggi.
“Saya sedar beberapa langkah telah dilakukan oleh negara-negara luar dengan memberikan keistimewaan buat atlet kebangsaan untuk menjadi antara ‘barisan hadapan’ yang pertama menerima suntikan vaksin.
“Namun, kami tidak akan melakukan perkara tersebut di Itali kerana ramai lagi rakyat negara ini memerlukan suntikan vaksin lebih awal terutama warga emas yang sememangnya menjadi golongan berisiko dijangkiti wabak Covid-19.
“Justeru, saya rasa adalah sesuatu tindakan yang tidak wajar untuk memberikan mereka vaksin lebih awal semata-mata untuk menyertai kejohanan sukan. Ini hanyalah pendirian CONI tetapi keputusan penuh hanya akan ditentukan oleh kerajaan nanti,” katanya. – AGENSI