fbpx

Ada lelaki tidak sedar dirinya dicabul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.
MOHD. SYALMIZI HAMID, WAKIL PULAU PINANG

ISU gangguan seksual membabitkan mangsa dalam kalangan lelaki dilihat lebih kompleks berbanding perempuan apabila ada mangsa yang tidak ‘menyedari’ dia diperlakukan sedemikian.

Ini kerana, kebanyakan mangsa berasa keliru dan tidak mengetahui ukuran sebenar perlakuan seseorang yang boleh dianggap sebagai pencabulan maruah.

Lebih membuatkan mereka terhimpit apabila menjadi mangsa kepada golongan yang dihormati, berpengaruh, alim, sesama jantina atau wanita.

Biarpun dianggap terpencil berbanding mangsa perempuan, isu ini sebenarnya berlegar dalam masyarakat kita sama ada dalam diam atau didedahkan oleh media.

Kosmo! baru-baru ini melaporkan seorang ustaz di Kelantan didakwa di mahkamah atas kesalahan mencabul beberapa lelaki dan kejadian sama membabitkan pelaku seorang paderi di Pulau Pinang.

Berkongsi pengalamannya kepada Kosmo!, seorang pemuda, Dani (bukan nama sebenar), 25, berkata, pengalaman ‘diraba’ seorang lelaki bergelar profesor beberapa tahun lalu meninggalkan perasaan trauma sehingga kini.

“Timbul perasaan marah dengan perlakuannya menggosok paha, tetapi untuk menyedapkan hati, saya anggap ia gurauan kerana tidak menyentuh bahagian sulit, apatah lagi dia golongan dihormati.

“Situasi itu sebenarnya beri kesan jangka panjang apabila saya sering menganggap diri bodoh dan berasa marah jika mengenangkan kejadian itu, namun sesetengah orang mungkin menganggap ia hal biasa,” kata ejen insuran tersebut.

Menurut Pertubuhan Perkhidmatan Serangan Seksual Alberta (AASAS) di Kanada, kebanyakan lelaki yang menjadi mangsa memilih merahsiakan kejadian itu termasuklah daripada pengetahuan individu paling rapat atau yang dipercayainya.

Ini kerana, mereka takut tidak dipercayai, diejek, dimalukan, dikatakan lembik atau diabaikan, apatah lagi risau dituduh tidak ‘macho’ atau jantan kerana tidak boleh melindungi diri sendiri.

Sementara itu, menurut Rangkaian Nasional berkaitan Rogol, Penderaan dan Sumbang Mahram (RAINN) di Amerika Syarikat, situasi itu memberi kesan buruk kepada mangsa seperti anxiety (keresahan), tekanan perasaan, menyendiri, berasa diri seperti kurang sifat kelakian, sukar rileks dan takut untuk berhubungan.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, kebanyakan mangsa gangguan seksual yang dilaporkan dalam kalangan lelaki adalah kanak-kanak dan diikuti remaja.

“Lelaki dewasa tidak ramai melainkan mereka miliki sifat unik seperti bakat (tertentu), bentuk fizikal dan wibawa yang menepati fantasi pelakunya,” katanya baru-baru ini.

Sementara itu, beliau berkata, sekiranya terdapat sebarang sentuhan tidak diingini terhadap seseorang, ia boleh ditakrifkan sebagai mencabul kehormatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

“Ramai (mangsa) keliru kerana mereka anggap cabul kehormatan sekiranya menyentuh kemaluan atau payu dara sahaja, namun kehormatan di sini bermaksud maruah meliputi keseluruhan tubuh.

“Jika tiada sentuhan fizikal, ia boleh ditakrifkan sebagai mengaibkan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan sekiranya (gangguan) dengan penggunaan isyarat (badan), gerakan, lisan atau tulisan (ke atas mangsa),” katanya.

Menurutnya, tindakan paling tepat sekiranya seseorang berasakan dirinya telah mengalami gangguan seksual adalah dengan membuat laporan polis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI