KOTA BHARU – Sepasang suami isteri yang diberhentikan kerja tanpa sebarang notis dan pampasan pada tahun lalu terpaksa membawa dua anak mereka tinggal di sebuah bangsal di Kampung Mek Mas, di sini sejak dua bulan lalu.
Bagi Mohd. Saufi Ibrahim, 41, dan isteri, Dahlia Musliman, 48, mereka tiada ikhtiar lain untuk mencari tempat berteduh selepas dihalau dari rumah sewa apabila tidak dapat membayar sewa empat bulan.
Sudahlah tiada wang pampasan, syarikat perlombongan pasir di Kuala Besar di sini tidak membayar gaji mereka selama empat bulan sebelum diberhentikan kerja.
Menurut Dahlia, dia bekerja sebagai kerani dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,500, manakala suaminya sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM1,400 di syarikat itu.
“Nasib saya, suami serta dua anak perempuan, Nur Dhiyalissyha, 7, dan Nur Dheyalina, 6, mula berubah selepas kami hilang kerja.
“Suami dan anak-anak pernah menumpang di pos pengawal di syarikat lama kami bekerja selama lima hari sementara untuk mencari tempat tinggal lain, sebelum mendirikan bangsal itu di atas tanah kerajaan berhampiran rumah ibu mertua saya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Hong Leong, 12451082558 atas nama Dahlia Musliman atau hubunginya di talian 011-3333 9644.