FARAH, 25 menghempaskan papan kekunci komputernya di atas meja.
Hatinya kecewa apabila kesemua permohonan pekerjaan yang dipohonnya sejak sepuluh bulan lalu tidak berbalas.
Jika ada pun, syarikat tersebut hanya membuat permohonan maaf kerana tiada pengambilan pekerja dilakukan buat masa ini ekoran pandemik Covid-19.
Perasaan kecewa dan malu terhadap kedua-dua orang tuanya saling datang silih berganti.
Lebih-lebih lagi apabila anak kelahiran Terengganu ini merupakan anak sulung daripada enam orang adik-beradik yang menjadi tunggak keluarga besar itu.
Saya sudah cukup tertekan
“Keluarga begitu mengharapkan saya dan sering menjadikan saya sebagai contoh untuk diikuti oleh adik-adik yang lain.
“Tetapi kini saya seakan menghampakan mereka apabila gagal mendapatkan pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan yang diperoleh.
“Sudahlah mereka kini bergantung kepada saya kerana perusahaan makanan sejuk beku ayah di kampung terpaksa dihentikan seketika ekoran banjir yang berlaku baru-baru ini. Tertekan saya dibuatnya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Merupakan pelajar cemerlang dalam jurusan perakaunan sebuah universiti di Lembah Klang, Farah begitu yakin mampu menjawat jawatan yang bagus di mana-mana syarikat sebaik menamatkan pengajian.
Tambahan pula melihatkan beberapa orang rakannya yang sudah mendapat tempat di pelbagai syarikat dan bergaji selesa.
Terdesak dan tidak mahu membimbangkan keluarga, Farah terpaksa menipu dengan menyatakan dia kini bekerja di sebuah syarikat swasta terkemuka di ibu negara sedangkan dia sebenarnya sedang bergelut mencari pekerjaan, selain membuat beberapa kerja sambilan.
“Saya bukanlah sejenis graduan yang memilih pekerjaan. Sebutlah apa sahaja dari bekerja di stesen minyak sehinggalah menjadi ejen menjual makanan di pasar malam, semuanya saya pernah lakukan sementara menunggu peluang pekerjaan.
“Sebelum negara dilanda Covid-19, saya tidaklah terlalu tertekan seperti ini kerana masih mampu bekerja dan menjana pendapatan lebih RM3,000 sebulan.
“Biarpun penat, namun saya gagahkan juga kerana mahu menolong keluarga di kampung,” katanya.
Begitupun, kehidupannya berubah sejak pandemik melanda negara.
Kebanyakan kerja sambilan yang dilakukan sebelum ini terpaksa ditinggalkan kerana majikannya gulung tikar ekoran ketidakmampuan untuk mempertahankan perniagaan yang dijalankan.
Hari berganti hari, kehidupan Farah semakin tertekan sehingga dia pernah terfikir untuk mencari jalan singkat dengan membunuh diri.
“Semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pertama dahulu, saya rasa hidup ini kosong. Cemburu dan tertekan apabila melihat rakan-rakan yang bekerja dan bergaji hidup gembira tiada masalah.
“Saya pula terpaksa berkurung di dalam bilik rumah sewa mengira saki baki wang di dalam akaun bank.
“Saya juga pernah cuba minum air sabun dan menelan pil tidur dengan harapan keesokan paginya saya sudah tiada.
“Tetapi kuasa Tuhan, umur saya masih panjang selepas diselamatkan teman serumah,” ceritanya lanjut.
Prihatin dengan tekanan yang dialami Farah, rakan serumahnya membawa gadis ini bertemu kaunselor.
Farah didiagnosis dengan penyakit depresi. Bagaimanapun, nasibnya baik kerana masih boleh dikawal dan tidak perlu bergantung kepada pengambilan ubat.
“Perkara ini hanya rakan serumah sahaja yang tahu. Mungkin mereka juga kasihan melihat saya dan bimbang dengan pandangan yang bakal diberikan jika perkara ini diketahui orang lain.
“Mana tidaknya, banyak sangat individu mengecam golongan kami dengan mendakwa perkara tersebut berlaku disebabkan kami tidak kuat iman, tidak solat dan sebagainya,” katanya.
Menyerahkan semuanya pada takdir, Farah akui dirinya kini sedikit tenang biarpun kadangkala merasa tertekan memikirkan perihal pekerjaan.
Begitupun, dia masih bersyukur kerana kini diambil bekerja sebagai seorang kerani di sebuah syarikat swasta.
“Saya baru dua minggu bekerja di syarikat itu. Setakat ini semuanya baik-baik sahaja.
“Tetapi biasalah manusia ada sahaja yang tidak puas hati. Lagi-lagi memikirkan kelulusan yang dimiliki tidak setimpal dengan apa yang diperoleh. Sedikit sebanyak ia masih memberi tekanan kepada saya,” ujarnya sebelum menutup bicara.