KEMAMAN – Taktik seorang lelaki warga India menyorok dalam timbunan kotak di belakang sebuah lori semata-mata untuk merentas negeri gagal apabila berjaya dikesan polis di sekatan jalan raya (SJR) Paya Berenyut di sini hari ini.
Sebelum ditahan pada pukul 1 pagi di sempadan Pahang – Terengganu itu, suspek berusia 40-an yang disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pemandu lori membawa pakaian terpakai tersebut mendakwa telah berjaya melepasi empat SJR lain dari Selangor.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pada mulanya, anggota polis bertugas di SJR berkenaan merasa curiga selepas pemandu lori warga tempatan berkenaan mengemukakan surat kebenaran merentas negeri yang mengunakan nama individu lain.
“Pemeriksaan lanjut di bahagian belakang lori itu kemudiannya berjaya menemukan seorang lelaki warga India yang sedang bersembunyi di antara timbunan kotak.
“Pemandu lori berusia 40-an itu kemudiannya mendakwa lelaki warga asing itu pengganti kepada kelindannya,”katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. – K! ONLINE