GUA MUSANG – Masyarakat Orang Asli di Kampung Sendrop, Tanah Tinggi Lojing di sini membina palang besi dan mengawal jalan masuk ke kampung mereka bagi mengelakkan orang luar keluar dan masuk kampung setiap hari.
Penduduk Orang Asli bertindak demikian kerana bimbang wabak Covid-19 merebak ke kampung mereka yang masih dikategorikan sebagai zon hijau.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Sendrop, Ahoi Along berkata, sekatan itu dibuat sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 yang berkuatkusa 16 Januari lalu.
Katanya, empat kumpulan penduduk akan bertugas menjaga sekatan secara bergilir-gilir bermula pukul 6.30 pagi sehingga 7.30 petang setiap hari.
“Sebelum membuat kawalan keselamatan ini kami sudah meminta kebenaran polis di Pondok Polis Lojing.
“Selepas pukul 7.30 malam, kami tidak benarkan pergerakan keluar dan masuk kecuali untuk hal kecemasan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, polis akan membuat pemantauan selepas penduduk menutup jalan masuk kampung tersebut.
Katanya, beliau sudah mengarahkan Ketua Polis Daerah Gua Musang supaya berjumpa dengan kira-kira 500 penduduk berbincang berhubung isu penutupan laluan semalam.
“Anggota polis akan melakukan pemeriksaan di kawasan berkenaan supaya tidak membenarkan orang luar masuk.
“Tindakan yang dilakukan oleh penduduk itu tidak salah, sebaiknya mereka maklum terlebih dahulu kepada pihak polis,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Minyak Wangi dan Sepanduk kepada Polis Diraja Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini. – K! ONLONE.