SEGAMAT – Perkhidmatan kepakaran dan rawatan kepada semua pesakit di Hospital Segamat masih beroperasi seperti biasa dan masih terkawal.
Pengarah Hospital Segamat, Dr. Azhar Mohd. Sali dalam kenyataan berkata, penularan wabak Covid-19 dalam kalangan Health Care Workers (HCW) juga adalah masih terkawal.
Dr. Azhar berkata demikian merujuk kepada laporan sebuah akhbar dan mesej tular berkaitan penularan jangkitan Covid-19 di Hospital Segamat baru-baru ini.
“Untuk makluman semua, pihak hospital telah mengambil langkah-langkah yang proaktif sejak dari awal penularan pandemik Covid-19 iaitu dengan mengawal pergerakan kakitangan dalam kawasan hospital dari unit ke unit.
“Setiap pergerakan juga perlu direkodkan melalui imbasan kod QR bagi memudahkan pengesanan kontak dalam kalangan kakitangan di hospital,”katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Dr. Azhar lagi, sebagai langkah tambahan dalam mengawal risiko penularan kepada HCW melalui komuniti, waktu melawat juga tidak lagi dibenarkan untuk pesakit-pesakit yang berada di wad sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac 2020.-K! ONLINE