LONDON – Bekas pemain tengah Manchester United, Jesse Lingard mengakui teruja untuk menyertai rakan sepasukannya di England, Declan Rice selepas melengkapkan perpindahan secara pinjaman ke West Ham United.
Lingard sebelum ini gagal menempatkan diri dalam skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer menyebabkan dia terdesak untuk mencari pasukan baharu yang mampu memberinya peluang beraksi.
Beberapa pasukan seperti Nice dan FC Porto berminat untuk mendapatkan khidmatnya tetapi pemain berusia 28 tahun itu mendedahkan hubungan baiknya bersama Pengurus West Ham, David Moyes menyebabkan dia membuat keputusan kekal di England.
“Saya sangat teruja. Ia adalah fasa baharu dalam hidup saya. Tidak ada perkara yang memberi jaminan tetapi saya perlu bekerja keras untuk membantu pasukan ini dengan pengalaman yang saya ada.
“Itu adalah sasaran saya. Saya hanya mahu terus menikmati bola sepak dan kembali bermain serta meletakkan kaki saya di atas padang. Banyak kelab yang memberikan tawaran tetapi secara peribadi saya fikir ini adalah keputusan terbaik.
“Saya mempunyai hubungan yang baik dengan pengurus ketika kami bersama-sama di United. Saya bermain di bawahnya dan dia tahu mengenai kualiti yang saya miliki.
“Di West Ham juga saya mengenali beberapa pemain, saya kenal Declan (Rice) dengan baik ketika bersama-sama dalam skuad England. Saya fikir tidak ada masalah untuk mencari kesesuaian dengan cepat di kelab ini,” jelasnya. – AGENSI