KUALA SELANGOR – Tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dicekup sebaik memasuki negara ini menggunakan sebuah bot pancung di tali air 8/9, ladang kelapa sawit, Sekinchan petang tadi.
Ketiga-tiga PATI lelaki berusia 22 hingga 40 tahun ditahan pukul 6.30 petang.
Pengarah Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, siasatan awal mendapati mereka berlepas dari Tanjung Balai, Indonesia bagi memasuki negara ini.
Katanya, pihaknya turut menemui sebuah bot bersama enjin yang ditinggalkan di pesisir Bagan Sekinchan dianggarkan RM25,000.
“Kesemua suspek termasuk bot itu telah dibawa ke Balai Polis Sekinchan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. -K!ONLINE