PETALING JAYA – Penyanyi Intan Sarafina mengejutkan peminat apabila muncul dengan gaya memakai hijab menerusi perkongsian terbaharu dalam Instagramnya beberapa jam lalu.
Pelantun lagu Duhai Malam itu memuat naik sekeping gambarnya tersenyum dengan menulis kapsyen ringkas.
“Just smile and say alhamdulillah (senyum dan ucapkanlah alhamdulillah),” tulisnya.
Perkongsian Intan atau nama lengkapnya Ungku Intan Sarafina Ungku Yahya, 40, pantas mencuri perhatian peminat yang rata-rata memuji kecantikan penyanyi itu manis bertudung.
Pada masa sama, peminat turut mendoakan penyanyi yang pernah menyertai program Gegar Vaganza musim keenam (GV6) itu kekal istiqamah dengan imej baharunya.
“Alhamdulillah. Semoga bab baharu dalam hidup awak akan kekal selamanya. Syukur Ya Allah,” tulis seorang peminatnya.
Intan terlebih dahulu memuat naik sekeping gambar menerusi InstaStorynya tiga hari lalu memaparkan dia mengenakan tudung berwarna kelabu tanpa menulis sebarang kaspyen.- K! ONLINE