PUTRAJAYA – Kematian tragis dan menyayat hati seorang kanak-kanak berusia enam tahun, Zubaidi Amir Qusyairi Abd. Malek menyentuh hati beberapa menteri Kabinet.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi hantaran di Facebook berkata, seluruh negara sudah pasti amat sedih dengan pemergian arwah.
“Moga Allah S.W.T tempatkan anak kecil ini di kedudukan yang istimewa di sisi-Nya di dalam syurga,” katanya.
Sementara itu, Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau mahu kes kematian arwah diselesaikan dengan segera.
“Turut merasa hiba setelah dimaklumkan pemergian tragis anakanda Zubaidi Amir Qusyairi Abd. Malek semalam. Allah lebih menyayanginya. Semoga kes ini diselesaikan segera,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique menerusi perkongsian berkata, seluruh rakyat Malaysia berduka dengan pemergian anak kecil ini.
“Sedih dan pilu apabila mengikuti kisah tragis Allahyarham Adik Amir. Takziah buat keluarga Allahyarham adik Amir terutamanya ibu angkat Allahyarham, Norlida Abu Hassan.
“Marilah kita sama-sama membacakan Al-Fatihah dan pahalanya kita sedekahkan buat anak syurga ini. Al-Fatihah,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang Jumaat lalu, kanak-kanak itu ditemui lemas dalam tong air di sebuah rumah di Taman Krubong Jaya, Melaka dengan kesan kecederaan di beberapa bahagian badan.
Susulan itu, polis menahan sepasang suami isteri masing-masing berusia 32 dan 38 tahun direman tujuh hari sehingga 5 Februari depan untuk membantu siasatan. – K! ONLINE.