BARCELONA – Calon presiden Barcelona, Joan Laporta menyindir Paris Saint-Germain (PSG) dengan mendakwa gergasi Perancis itu mampu menandatangani khidmat Lionel Messi sekiranya sangup melanggar Peraturan Kewangan Adil (FFP).
Bekas presiden The Catalan itu yang berharap dilantik semula memegang jawatan itu pada Mac depan, ternyata tidak berpuas hati dengan kenyataan terbuka Pengarah Sukan PSG, Leonardo mengenai peluang untuk membeli Messi baru-baru ini.
Laporta, 58, mendakwa, tindakan PSG tidak menghormati Barcelona dan beliau bersedia melaporkan perkara itu kepada Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk tindakan lanjut terhadap finalis Liga Juara-Juara musim lalu itu.
“Apa yang mereka (PSG) lakukan sangat tidak sopan. Ia seolah-olah menunjukkan kelab anda tiada pengalaman dan perlu belajar banyak perkara dalam dunia bola sepak sekarang.
“Saya tidak tahu sama ada tindakan ini disebabkan naluri atau masalah komunikasi, namun saya sentiasa menghormati kelab-kelab lain.
“Ya mungkin mereka (PSG) boleh menandatanganinya (Messi) jika mahu terus melanggar FFP. Berdasarkan pengetahuan saya, mereka juga berdepan kerugian besar tahun lepas.
“Saya harap UEFA dan FIFA dapat bertindak balas dengan tegas. Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) tidak akan teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman,” katanya.
Sebagai rekod, salah satu manifesto Laporta pada pemilihan kali ini adalah berjanji memastikan Messi terus menyarung jersi keramat pasukan yang berpangkalan di Stadium Camp Nou itu. – AGENSI