Menuntut dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) tidak menghalang seorang gadis meneruskan minatnya dalam bidang perniagaan.
Ariesya Farha, 21 yang merupakan anak jati Kuala Lumpur menceburi bidang perniagaan sejak berusia 16 tahun dan diteruskan hingga kini walaupun bergelar pelajar di Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM).
Mesra disapa Ariesya, gadis itu berkata, perniagaan pakaian dan aksesori tersebut dilakukan secara dalam talian menerusi Instagram @riesy.kl.
Bagi Ariesya, perniagaannya sudah sebati dengan dirinya dan biarpun bergelar guru satu hari nanti. Kepada Kosmo! Ahad anak bongsu daripada lima beradik itu berkongsi mengenai dirinya.
Kosmo! Ahad: Sejak bila Ariesya aktif berniaga?
Ariesya: Sejak berusia 16 tahun, saya bermula dengan menjual kanta lekap, pakaian tidur dan pakaian kasual.
Kenapa Ariesya memilih melanjutkan pelajaran dalam jurusan TESL?
Ini adalah hasrat ibu yang mahu Ariesya belajar hingga ke peringkat doktor falsafah (PhD). Ibu mahu Ariesya bergelar pensyarah Bahasa Inggeris dan saya berjanji akan merealisasikan hasrat tersebut.
Bagaimana pula dengan dunia peragaan dan perniagaan?
Menjadi model dan berkecimpung dalam dunia perniagaan adalah cita-cita saya sejak kecil. Sejak dahulu lagi, saya suka berhias dan bergaya di hadapan kamera serta minat berfesyen.
Boleh kongsikan cabaran dan momen manis sebagai model dan tenaga pengajar sambilan?
Saat paling indah semasa dipilih menjadi Face of MHExplorer Campaign oleh syarikat penerbangan Malaysia Airlines. Saya juga pernah menjadi guru ganti di Sekolah Kebangsaan Danau Kota, Kuala Lumpur. Banyak cabaran ditempuhi, namun penat lelah berbayar apabila dihargai oleh pelajar.
Boleh kongsi aktiviti masa lapang?
Saya suka mengembara, melancong selain berkaraoke.
Mempunyai hampir 100,000 pengikut di Instagram, apa cabaran bergelar Instafamous?
Saya paling suka apabila menerima barangan tajaan yang diidamkan dan bekerjasama dengan selebriti, namun sebagai Instafamous saya perlu korbankan privasi. Saya juga perlu memastikan bahan dimuat naik tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.
Tips Ariesya untuk mereka yang mahu bergelar Instafamous?
Jadi diri sendiri, jangan pernah membandingkan diri kerana setiap orang ada kelemahan dan kekuatan tersendiri. Jangan pernah takut untuk mencuba. Sayangi diri dan kita akan lebih menghargainya.