PETALING JAYA – Selebriti terkenal, Neelofa masih belum terbuka hati untuk aktif semula dalam dunia hiburan walaupun mengakui banyak menerima tawaran ke arah itu sejak berniqab Oktober tahun lalu.
Kata Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd. Noor, 31, dia bagaimanapun terpaksa menolak semua tawaran kerana merasakan belum tiba masanya untuk kembali aktif dalam dunia hiburan.
“Sejujurnya, saya dapat banyak tawaran buat program televisyen namun saya sendiri tertanya-tanya.
“Macam mana perempuan berniqab atau seseorang yang hanya boleh nampak bahagian atas mata sahaja untuk muncul dalam saluran premium pada waktu perdana. Mereka memang nak sangat saya terima tawaran itu.
“Saya cakap bagi saya fikir dahulu. Tawaran itu saya terima sekitar bulan November atau Disember namun keadaan waktu itu memang tidak mengizinkan kerana banyak perkara yang perlukan saya selesaikan,” kata Neelofa kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Mantan pengacara MeleTOP itu juga menyifatkan kerjaya hiburannya sekarang berada pada fasa ‘on hold’.
“Kalau ada pun (program TV yang melibatkan dirinya), saya tak nak ‘kosong’, saya mahu ada pengisian sebelum kembali ke televisyen.
“Kalau berlakon semula atau hal-hal berkaitan itu, saya tak terfikir pun buat masa sekarang,” ujarnya.
Neelofa berkata demikian pada sesi temu bual bersama media aplikasi The Noor yang boleh dimuat naik mulai 27 Januari, Rabu lalu.
Neelofa yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Noor Luminous Sdn. Bhd., berkata, pihaknya meletakkan sasaran sejuta pengguna.
Aplikasi yang diwujudkan hasil perkongsian tiga rakan kongsi tersebut dilengkapi pelbagai ciri khas seperti waktu solat, arah kiblat dan lokasi masjid berdekatan.
Selain itu, The Noor menawarkan fungsi terjemahan al-Quran dalam lima bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil dan Indonesia. Bacaan terjemahan bahasa Melayu dirakamkan menggunakan suaranya sendiri. – K! ONLINE