fbpx

Achey sumbang 10,000 cecair pembasmi kuman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ACHEY turun padang menyumbangkan sebanyak 10,000 cecair pembasmi kuman di sekolah sekitar Klang, Selangor.

PETALING JAYA – Atas dasar keprihatinan terhadap guru dan pelajar sekolah, pelakon dan pelawak, Achey menghulurkan bantuan berbentuk cecair pembasmi kuman yang kini menjadi keperluan asas dalam usaha mencegah penularan pandemik Covid-19.

Bersama syarikat pengeluar produk minyak wangi dan cecair pembasmi kuman, SugarBomb Worldwide Sdn. Bhd, Achey atau nama sebenarnya, Mohd. Nasir Hamzah, 34, menyumbangkan cecair berkenaan kepada sekolah menengah dan tadika di sekitar Lembah Klang, selain Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang, Selangor.

Menerusi program SugarBomb Care For You, sebanyak 10,000 cecair pembasmi kuman diserahkan untuk kegunaan guru dan pelajar tingkatan lima yang bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Achey yang berperanan sebagai duta produk berkenaan berkata, dia teruja turun padang ke PPD Klang dan beberapa sekolah untuk mengetahui perkembangan pada saat pandemik Covid-19 meningkat hingga angka jangkitan mencatat jumlah 5,000 setiap hari.

“Siapa tak gerun keluar rumah pada saat pandemik dalam tahap membimbangkan. Tiada simptom pun boleh positif Covid-19.

“Bagaimanapun, saya melihat guru tidak pernah patah semangat apabila berkunjung ke PPD Klangbaru-baru ini. Dalam keadaan risau, saya diberitahu mereka tetap menjalankan tugas dengan baik.

“Saya juga sempat berkunjung ke beberapa sekolah taska termasuk Sekolah Menengah Tinggi Klang. Saya lihat pihak sekolah menekankan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Saya tidak dibenarkan bertembung dengan pelajar ketika menyerahkan sumbangan.

“Apabila sampai ke sekolah, guru sendiri menunggu pasukan SugarBomb untuk memeriksa suhu badan dan sanitasi. Tanpa mengira sesiapa yang hadir, kena ikut SOP ketat. Paling utama, kena ada surat kebenaran menghantar cecair pembasmi kuman kerana tidak boleh memasuki sekolah sesuka hati,” katanya.

Achey berkata, dia perlu memakai pelitup wajah dan sarung tangan ketika memasuki kawasan sekolah demi keselamatan pelajar.

“Sebelum ini, kakak saya yang juga seorang guru pernah memberitahu SOP yang ditekankan di sekolah. Dalam hati, saya macam tak percaya. Tetapi, saya baru tahu betapa ketatnya kawalan keselamatan apabila saya sendiri turun padang ke sekolah.

“Guru tidak akan membiarkan tetamu, mereka sentiasa memantau dan mengikut hingga sanggup menghantar kami ke kereta ketika pulang. Ini bagi mengelakkan orang luar bertembung dengan pelajar sekolah.

“Besar betul pengorbanan guru dalam menjaga keselamatan pelajar, berpeluh-peluh mereka turun naik menyambut tetamu, selain membantu mengangkat barang,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan SugarBomb Worldwide, Ahmad Azhari Rosli berkata, program SugarBomb Care For You adalah sebahagian usaha mendekati golongan sasaran menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Kami melihat ramai guru dan pelajar yang terpaksa ke sekolah ketika jangkitan Covid-19 menunjukkan angka yang tinggi.

“Tentunya, mereka menjadi golongan berisiko tinggi apabila keluar rumah. Atas dasar keprihatinan Achey dan Mr. Bomb turun padang menyerahkan 10,000 botol cecair pembasmi kuman kepada 10 sekolah sekitar Lembah Klang.

“Kami memilih sekolah yang mempunyai ramai pelajar sekitar Klang. Ini sebahagian usaha membantu sekolah dalam meringankan bebanan mereka. Apa yang diketahui, sekolah wajib menyediakan cecair pembasmi kuman bagi kegunaan guru dan pelajar,” katanya.

Antara sekolah yang menerima sumbangan termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Sekolah Menengah Perempuan Kapar, Sekolah Menengah Tinggi Klang, Taska Sirajuddin, Taska Al Munawarrah, Taska Mawaddah dan Taska Al Syabab.

SugarBomb Worldwide menghasilkan dan menjual lebih satu juta botol cecair pembasmi kuman sejak pandemik Covid-19 menyerang negara kira-kira sembilan bulan lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI