fbpx

500 anggota ditambah SJR di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alzafny memeriksa kenderaan ketika memantau SJR di Jalan Pantai - Permas Jaya, Johor Bahru hari ini. - Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Sebanyak 500 anggota pasukan pemantauan akan ditambah khususnya bagi penugasan rondaan susulan peningkatan kes positif Covid-19 harian di negeri ini.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Johor, Senior Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, selain pemantauan di Sekatan Jalan Raya (SJR), rondaan akan dilaksanakan kawasan kediaman pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin kendiri di rumah atau hostel tempat bekerja.

Katanya, sehingga kini, terdapat 241 anggota polis yang ditempatkan bagi memastikan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dipatuhi.

“Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengarahkan untuk mempertingkatkan terutama sekali aspek pematuhan SOP memandangkan Johor antara negeri tertinggi mencatatkan kadar kes harian.

“Jumlah kes individu dikuarantin semakin bertambah. Jadi, kita khuatir ada kemungkinan orang yang sepatutnya kuarantin kendiri ini mungkin bergerak keluar dari tempat kuarantin terutama dari rumah mereka.

“Untuk sebab itu, Ketua Polis Johor (Ayob Khan) keluarkan arahan supaya kita menambah pasukan supaya dapat menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara menyeluruh,” katanya ketika ditemui di SJR Jalan Pantai – Permas Jaya, di sini hari ini.

Alzafny berkata, polis akan membantu petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat ‘spot check’ (pemeriksaan) dari rumah ke rumah untuk memastikan mereka benar-benar melaksanakan kuarantin yang betul.

Tambah beliau, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan atau aduan terdapat individu yang dikuarantin ditahan di SJR menuju ke destinasi tertentu.

“Hasil daripada pemeriksaan yang sudah dijalankan, kita dapati penduduk di negeri ini patuh kepada arahan SOP. Kita tidak menerima sebarang aduan yang mengatakan pemandu kenderaan antara individu yang dikuarantin,” katanya.

Polis Johor membuat pemeriksaan di 54 SJR di 10 buah daerah di negeri ini.- K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI