fbpx

K2

Rezeki murah Raja Udang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UDANG galah bersaiz besar yang berjaya dipancing oleh Hasli di Sungai Kelantan.

DIGELAR dengan panggilan Raja Udang dalam kalangan rakan-rakan kaki pancing bukan menjadi tiket untuk Hasli Mat Seman, 39, bermegah.

Dia tidak menafikan gelaran itu malah mengakui sering mendapat hasil lumayan setiap kali turun ke lubuk dengan berkat doa dan usaha.

Hasli atau lebih dikenali sebagai Hasli Klatey dari Beris Kubur Besar, Bachok, Kelantan menganggap penggunaan pelbagai jenis umpan hanya sebagai pemikat untuk memperoleh hasil tangkapan yang merupakan ikhtiar kaki pancing itu sendiri.

Dia sentiasa menanam kalimah bismillahirahmanirahim dalam diri sebagai pembuka setiap pergerakan sebelum turun ke lubuk memancing udang galah.

Ujarnya, dia mula memancing udang galah sejak 22 tahun lalu dengan pada awalnya menangkap hidupan itu di sekitar tebing sungai.

“Saya mula serius pada tahun 2003 selepas memiliki bot sendiri. Hobi memancing udang galah menyebabkan saya berhenti melakukan aktiviti di laut.

“Ramai mendakwa lokasi atau lubuk yang banyak udang juga merupakan lubuk sang bedal. Pada saya, ia merupakan asam garam yang menjadi cabaran kepada kaki pancing udang galah dan itu menjadikan saya lebih teruja terutamanya untuk meredah kawasan hulu Sungai Kelantan,” katanya ketika ditemui K2 baru-baru ini.

Hasli berkata, sepanjang memancing, dia menganggap peluang mendaratkan puluhan ekor udang galah pelbagai saiz merupakan detik manis buatnya.

Katanya, dalam usaha untuk mendaratkan banyak udang, dia perlu mencari lubuk yang mempunyai suhu dan keadaan air sungai bersesuaian.

 

 

UDANG galah bersaiz besar yang berjaya dipancing oleh Hasli di Sungai Kelantan.

Ujarnya, tidak dinafikan, pengalaman bertemu dengan buaya merupakan antara detik yang paling mencemaskan.

“Ketika sedang asyik meraih hasil udang galah, banyak kali saya melihat kelibat buaya timbul di permukaan. Keadaan itu menyebabkan saya terus beredar dan berpindah lokasi.

“Lazimnya, itu merupakan pengalaman yang dilalui oleh ramai kaki pancing udang galah kerana buaya dan sang sepit biru sudah sinonim berada di habitat air tenang yang keruh,” ujarnya.

Menurut Hasli, untuk mencari lubuk udang galah, perjalanan di kawasan darat akan memakan masa lebih lama.

Ceritanya, lokasi yang paling digemari untuk menjejak udang galah adalah di Sungai Jertih, Besut; Sungai Kemahang, Machang dan Sungai Kerilla, Tanah Merah.

Ujarnya, ketiga-tiga lokasi itu tidak pernah menghampakannya dan sentiasa membawa pulang hasil yang banyak.

“Perjalanan untuk mencari lubuk udang di Sungai Kerilla memakan masa satu jam bertolak dari tebing sungai.

 

UDANG yang baru ditangkap oleh Hasli di Sungai Kelantan dekat Kampung Temangan, Machang.

 

“Setiap kali keluar memancing, saya pergi bersama rakan-rakan. Hobi memancing sebenarnya boleh merapatkan hubungan antara satu sama lain. Bagaimanapun, ada masanya saya bergerak sendirian.

“Saya bertolak awal pagi sebelum matahari terbit untuk berada di tengah sungai. Air keruh dan pekat memberi petanda awal rezeki yang bakal didaratkan. Lazimnya, saya guna empat hingga lima joran untuk menangkap sang sepit biru ini,” katanya.

Jelasnya, meskipun sudah berusaha, semua bergantung kepada nasib dan rezeki termasuk kepandaian dalam membaca rentak hidupan air itu.

“Nasihat saya, mulut pemancing perlu dijaga. Jangan celupar kerana kita menumpang mencari rezeki Allah melalui hobi memancing,” ujarnya.

Menurut Hasli, selain sungai-sungai di Kelantan dia turut menjejak lubuk udang di Sungai Kuala Lipis, Pahang; Sungai Tok Gong (Besut, Terengganu), Sungai Gersik (Johor), Sungai Batak Rabit (Perak), Sungai Kuching (Sarawak) dan Sungai Klias, Sabah.

Katanya, dia juga pernah menawan udang sungai di luar negara iaitu di Sungai Rasau Jaya, Pontianak, Kalimantan, Indonesia.

Jelasnya, dia gemar menggunakan umpan jantung ayam, isi ikan, sotong yang dihiris halus, usus ayam, cacing, ikan gapi dan udang kecil.

“Setiap detik perjalanan saya ke lubuk udang galah didokumentasikan melalui rakaman video. Saya akan memuat naik video memancing udang di saluran YouTube, Haslie Klatey,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI