SABAN hari banyak kisah sedih didendangkan di akhbar mahupun media sosial. Rata-ratanya mengenai nasib hidup mereka yang terkesan dengan Covid-19 sehingga hilang punca pendapatan kerana dibuang kerja.
Baru-baru ini tular di Facebook kisah seorang ibu bersama tiga anaknya sedang menyelongkar tong sampah untuk mencari sesuatu ‘berharga’.
Pengorbanan ibu itu menyentuh hati netizen. Ramai simpati dan ingin membantunya dengan meminta akaun bank serta nombor telefon untuk dihubungi.
Individu yang merakam video tersebut juga tidak dapat menahan kesedihan dan menghulurkan wang kepada wanita itu untuk membeli makanan buat dirinya serta anak-anak.
Minggu lalu, seorang ibu sanggup mencuri makanan dan ubat-ubatan di sebuah pasar raya di Petaling Jaya untuk anaknya yang sedang demam.
Meskipun wanita itu telah ditahan pukul 3 petang pada 20 Januari lalu kerana mencuri, namun Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal terpanggil untuk membantu wanita itu.
“Saya menerima laporan mengatakan ada seorang wanita ditahan kerana dikatakan mencuri kek, koolfever (plaster) untuk anaknya yang sakit (demam).
“Jadi saya pun berasa terpanggil untuk berjumpa dengan wanita ini. Saya percaya dia ada masalah kalau tidak, dia tidak akan buat perkara ini,” katanya menerusi satu video yang disiarkan di Facebook rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya semasa mengadakan lawatan dan menyerahkan sumbangan di rumah wanita tersebut.
Ibu kepada tiga anak itu dilaporkan menghadapi kesulitan selepas suaminya yang bekerja sebagai pembaik pulih lif, tidak mempunyai sebarang pekerjaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam lawatan tersebut, Nik Ezanee memberitahu, pihaknya telah menyampaikan sumbangan antaranya beras, telur dan kit makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Dalam pada itu, menurut Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik Kebangsaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid, sikap prihatin rakyat Malaysia tidak dapat disanggah lagi kerana sejak kecil telah dididik dengan nilai-nilai murni.
“Masyarakat di Malaysia tidak mengira bangsa dan agama masing-masing menekankan perbuatan baik kerana percaya amalan murni itu akan menerima balasan baik begitu juga jika melakukan kejahatan.
“Sehubungan itu, tidak hairanlah menerusi satu kajian mendapati pengemis di Malaysia kaya kerana sikap dermawan rakyat negara ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Tambahnya, semua bangsa di Malaysia mempunyai semangat kebaikan itu apatah lagi ketika sedang diuji dengan virus Covid-19 yang menyaksikan ramai orang hidup dalam kesusahan ekoran kehilangan pekerjaan dan sebagainya.
Beliau turut menyanjung tinggi nilai kemanusiaan dan kebaikan budi yang dilakukan oleh Ketua Polis Daerah Petaling Jaya itu dalam membantu wanita tersebut yang dalam kesusahan serta tidak menghukumnya.
Kartini juga mencadangkan beberapa perkara untuk membantu mereka yang di dalam kesusahan seperti setiap daerah mempunyai pusat sehenti untuk menghulurkan bantuan kepada keluarga memerlukan.
Selain itu, gerakan aktivitis kemanusiaan, peranan kejiranan dan persatuan rukun tetangga juga sangat diperlukan bagi memastikan semua pihak yang terjejas dibantu.