MARAN – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya untuk diletakkan ditempat letak kereta dirempuh sebuah kren yang mengelunsur dari kawasan berbukit di tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Kampung Belimbing di sini, hari ini.
Mangsa yang maut dalam kejadian itu ialah Mohd Thaariq Asyraf Misbah,29, yang merupakan penyelia tapak pembinaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, semasa kejadian kira-kira pukul 8.45 pagi itu mangsa sedang meletakkan kereta di satu kawasan di tapak projek berkenaan.
“Berdasarkan siasatan awal, semasa kejadian pemandu kren hendak mengundurkan kenderaan di jalan yang agak cerun sebelum tiba-tiba brek kren dipercayai tidak berfungsi menyebabkan kren berkenaan menggelongsor ke belakang .
“Kren berkenaan kemudian melanggar pemandu kereta yang sedang meletakkan kereta lalu mengheret kereta itu masuk ke dalam longkang,”katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, akibat kejadian pemandu kereta yang berasal dari Johor meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, mayat mangsa di hantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat dan siasatan giat dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-K! ONLINE