KEMAMAN – Seramai 300 pekerja penghantaran makanan dan barangan di seluruh daerah ini menerima pek makanan percuma daripada Pejabat Dewan Undangan Negeri Chukai hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat berkata, pemberian pek makanan tengah hari terbabit sebagai penghargaan kepada kegigihan golongan itu menyumbang kepada masyarakat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
“Pekerjaan sebagai pekerja penghantaran makanan dan barangan sentiasa berhadapan dengan pelbagai risiko dan mengejar masa bagi memastikan pesanan pelanggan tepat pada masanya.
“Kita sedar kadang-kala mereka tidak sempat menjamah makanan demi menyelesaikan tugasan. Oleh itu, pemberian ini sebagai menghargai penat lelah mereka,” katanya selepaskan menyampaikan pek makanan itu secara pandu lalu di hadapan Pejabat DUN Chukai di sini hari ini.
Dalam program Sebungkus Nasi Setulus Hati itu, Hanafiah turut menghulurkan sumbangan peribadi kepada penghantar makanan dan barangan terlibat.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga serta Perpaduan Nasional Terengganu berkata, berdasarkan pemerhatiannya kebanyakan penghantar makanan dan barangan di daerah tersebut berusia di bawah 25 tahun.
“Rata-rata mereka baharu memasuki alam pekerjaan setelah tamat pengajian atau kehilangan pekerjaan asal ekoran penularan pandemik Covid-19,” katanya. – K! ONLINE