MANILA – Petinju terkemuka kelahiran Filipina, Manny Pacquiao mengikut jejak langkah Khabib Nurmagomedov dengan menolak tawaran untuk berdepan Conor McGregor sejurus kekalahannya ketika berdepan Dustin Poirer di UFC 257 pada minggu lalu.
Pacquiao sempat dikait akan berdepan McGregor pada musim ini, namun kekalahan bintang tinju Ireland tersebut membuatkan Pacquiao bertukar fikiran dan tidak berminat untuk menentangnya.
“Sangat malang, kelihatan seperti McGregor gagal untuk menandingi Poirer hingga dia tersingkir daripada perlawanan tersebut.
“Mungkin ketika itu dia sedang memikirkan saya iaitu Pacquiao. Saya rasa pertembungan McGregor dan Pacquiao tidak akan terjadi. Saya tidak berminat untuk berdepannya,” katanya.
Pacquiao yakin McGregor ketika ini sedang fokus untuk menebus maruahnya kembali seperti yang dilakukannya pada 2017 ketika berdepan Floyd Mayweather Jr.
“McGregor mempunyai kerja yang perlu diselesaikan di UFC. Keputusan tersebut sungguh menyedihkan dan jika dia menjuarai perlawanan tersebut mungkin situasi ketika ini berbeza,” tambah Pacquiao.
Walaupun Pacquiao menolak perlawanan menentang McGregor tetapi dia mempunyai satu lagi perlawanan iaitu menentang pencabar baharu iaitu Ryan Garcia. – AGENSI