MASIH terlalu awal, namun ada baiknya diucapkan, selamat berbahagia hingga ke anak cucu buat Neelofa dan kekasihnya Haris Ismail.
Tahniah juga untuk semacam pengumuman awal tentang ‘kesahihan’ majlis pernikahan mereka yang kini masih dalam perancangan.
Ketepikan seketika soal tarikh yang belum dicanang kepada umum, yang hakikatnya, sudah ada hitam putih cuma tunggu masa sahaja untuk gapura dunia baharu dilangkah bersama.
Apa yang boleh kita lihat daripada segala rentetan kontroversi yang penulis sangat percaya, semua orang waima pak menteri hinggalah ‘rider’ FoodPanda atau Grab mahu tahu kesudahan kisah mereka yang tiba-tiba meletup kononnya sedang berantakan.
Dengan bayangan yang disajikan sendiri oleh keluarga terutama adik-beradiknya, banyak prasangka, baru nampak warna sebenar dan macam-macam perubahan mula disedari ramai termasuk tidak lagi mengikuti akaun Instagram, orang ramai mula berteka-teki, beri nasihat dan pendapat.
Tak kurang juga yang mencurahkan minyak ke atas api.
Kemudian, muncul cerita tokok tambah sebagai penyedap, terkena minyak pengasih, sedang berubat dan sudah berkahwin senyap-senyap sehinggalah sedikit demi sedikit kita diberikan beberapa klu bahawa kemanisan kembali terjalin.
Alih-alih Neelofa kembali menyarungkan cincin dan Khamis lalu, dengan secara terbuka si manis berniqab itu buat pertama kalinya bersemuka dengan wartawan sebenar, biarpun sekadar dalam talian dan menjelaskan mereka baik-baik sahaja.
Nah! Kali ini tidak banyak dolak-dalik, selain berjanji akan mengumumkan tarikh pernikahan dalam masa terdekat, Neelofa juga bercakap tentang ‘dream wedding’nya musnah akibat Perintah Kawalan Pergerakan yang tidak habis-habis.
Ternyata, apa yang dikecohkan dan bersungguh-sungguh jadi pergaduhan netizen selama ini hanyalah bara-bara api, sedangkan mereka okey sahaja.
Jadi, untuk netizen yang gemar bercakap tentang kecurangan atau lebih molek lagi disebut masalah rumah tangga pelawak popular Shuk Shahar dan isteri, Rossalennah Natassyiah Asshaferah akibat kehadiran orang ketiga, kalian sudah bolehlah meredakan keghairahan menegakkan pendapat masing-masing.
Biarpun corak dilema Shuk dan isteri kali ini nampak lebih dramatik dengan pendedahan demi pendedahan daripada si isteri yang sudah mengenepikan soal menjaga aib suami, hujungnya kita tidak tahu, sama mereka akan berbaik semula atau bagaimana.
Kisah realiti adakalanya lebih dramatik berbanding drama televisyen yang sahih fiksyen semata-mata.
Kita menuduh watak-watak fiksyen sebagai bodoh, jahat atau sengal.
Begitu juga apabila ada yang menggelar pengkarya drama Melayu kontang idea sebab tak habis-habis buat cerita tentang suami main kayu tiga atau ibu mertua gila harta, padahal itulah sifat orang kita.
Begitulah agaknya filosofi Takdir Yang Tertulis yang menjadi drama paling menyakitkan hati ketika ini. Silalah tonton tanpa perasaan, jika tidak anda akan terjebak ‘percayakan’ onar dunia tipu-tipu seolah-olah itulah realiti.