GEORGE TOWN – Mayat seorang wanita ditemui di ruang tamu rumahnya di flat Padang Tembak, Ayer Itam di sini lewat malam tadi.
Wanita berusia 50 tahun itu dijumpai terbaring di ruang tamu kediamannya dalam keadaan lengkap berpakaian.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba Dan Penyelamat Paya Terubong, Abd. Roni Ayob berkata, pihaknya menerima panggilan menyelamat mangsa dan pintu rumah terkunci daripada pasukan polis kira-kira pukul 12.58 malam dan tiba ke situ kurang 10 minit kemudian.
Menurutnya, anggota terpaksa memecah pintu pagar besi rumah terbabit dengan menggunakan peralatan khas dengan masa yang diambil kurang lima minit.
“Kita pada mula menerima maklumat daripada pemanggil memaklumkan pintu terkunci dan dikhuatiri terdapat mangsa yang pengsan di dalam rumah tersebut.
“Sebaik pintu berjaya dibuka, kita menemui satu perempuan India berusia 50 tahun berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan telah diserahkan kepada pihak hospital untuk pengesahan kematiannya.
“Mayat wanita terbabit kemudiannya diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan selajutnya,” katanya di sini hari ini.
Operasi menyelamat mangsa tamat sepenuhnya pada pukul 1.29 pagi tadi. – K! ONLINE