LONDON – Liverpool membuktikan kemampuan sebenar mereka selepas menundukkan Tottenham Hotspur 3-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Tottenham Hotspur awal pagi semalam.
Kemenangan itu sekali gus kembali melonjak Liverpool dalam kelompok empat teratas dengan 37 mata, empat mata dibezakan dengan pendahulu, Manchester City.
Pengurusnya, Jurgen Klopp mengakui berpuas hati dengan aksi dipamerkan pemain-pemainnya selain memuji tiga gol yang dijaringkan Sadio Mane, Trent Alexander-Arnold dan Roberto Firmino.
“Kami jaringkan gol-gol berkenaan pada waktu yang tepat. Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan aksi semua pemain, cuma Joel Matip mengalami kecederaan.
“Aksi hari ini (semalam) bukanlah prestasi semata-mata tetapi inilah diri kami yang sebenar. Kami sudah tunjukkan permainan sebenar Liverpool,” kata bekas pengendali Borussia Dortmund itu.
Tambah beliau, meskipun beraksi di tempat lawan, namun pemain-pemainnya langsung tidak menunjukkan rasa gentar, sebaliknya melakukan serangan bertali arus ke arah pintu gol tuan rumah.
“Saya tidak tahu dengan tepat tetap apa yang boleh dilihat, mereka (Spurs) tidak banyak memegang bola hari ini (semalam). Kami berjaya menguasai sepenuhnya perlawanan,” jelasnya.
– AGENSI