SHAH ALAM – Tindakan tegas termasuk penutupan operasi akan dicadangkan kepada kilang-kilang yang menyembunyikan kes positif di kalangan pekerja serta tidak memberikan kerjasama aktiviti pengesanan kontak rapat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu hasil Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri bagi Kawalan Covid-19 yang dipengerusikan beliau malam tadi bagi membincangkan mengenai peningkatan mendadak kes di Selangor serta langkah-langkah bagi memutuskan rantaian wabak itu.
“Kerajaan negeri akan mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengambil tindakan tegas dan menutup kilang yang menyembunyikan kes positif di kalangan pekerja serta tidak memberikan kerjasama untuk aktiviti pengesanan kontak rapat.
“Ini bagi mengelakkan kluster-kluster baru di kilang dan tempat kerja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, program Preventing Outbreak at Ignition Site (POIS) akan dilaksanakan di semua kilang dan tempat kerja yang telah dikenalpasti di seluruh negeri yang berpotensi mencipta kluster dan perebakan wabak.
Amirudin menambah, POIS akan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Selgate Corporation Sdn. Bhd, semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM).
“Berdasarkan taklimat JKNS menjelaskan peningkatan kes ini disumbangkan beberapa faktor utama termasuk kes kumulatif (backlog cases) dari saringan pekerja kilang, saringan di penjara serta saringan di klinik dan hospital swasta yang tidak dilaporkan secara terus ataupun real time. Backlog ini boleh dikesan dari kes yang berlaku 10 hari yang lalu.
“Justeru, JKNS akan mengenakan kompaun kepada klinik atau hospital swasta yang tidak melaporkan kes positif secara terus pada hari yang sama melalui Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA),” jelasnya.-K! ONLINE