fbpx

Kepentingan rakyat agenda utama Ordinan Darurat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TAKIYUDDIN Hassan (tengah) ketika mengadakan tinjauan di ICQS Rantau Panjang hari ini.

RANTAU PANJANG – Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang dikuatkuasakan oleh kerajaan sejak 11 Januari lalu mengambil kira seluruh aspek melibatkan kepentingan rakyat dalam usaha melawan penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu turut merangkumi aspek kedaulatan negara, kesihatan dan ekonomi menerusi maklumat yang dikumpul oleh Jawatankuasa Pengurusan Teknikal Darurat.

“Segala input yang diperoleh akan dikumpul hari ini akan dibentang kepada Kerajaan Kelantan menerusi satu mesyuarat pada esok.

“Menerusi mesyuarat itu, Kerajaan Persekutuan juga akan melihat keperluan yang diperlukan oleh negeri Kelantan dalam melawan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Siti Zailah Yusoff dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.

Terdahulu, Takiyuddin bersama Jawatankuasa Pengurusan Teknikal Darurat turun padang melakukan tinjauan di sempadan Malaysia-Thailand dari Pengkalan Kubor, Tumpat ke Rantau Panjang.

Mengulas lanjut, menurut Takiyuddin, menerusi Ordinan Darurat itu, kerajaan juga mempunyai kuasa untuk mengambil alih bangunan atau tanah di kawasan sempadan.

Takiyuddin berkata, pemilikan sementara dan pengambilalihan itu bergantung kepada keperluan kerajaan ketika menangani penularan wabak Covid-19 sahaja.

Pada 15 Januari lalu, kerajaan telah mewartakan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang berkuat kuasa mulai 11 Januari lalu sebagai langkah proaktif membendung Covid-19.

Ordinan setebal 12 muka surat yang mengandungi 18 perkara itu telah diwartakan dan dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz di Indera Mahkota, Kuantan pada 14 Januari.

Ordinan itu antara lain memperuntukkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas Bebas untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam dalam persekutuan berikutan pandemik Covid-19. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI