fbpx

Kebenaran kerajaan legakan industri perkayuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Khairuddin

PUTRAJAYA – Keputusan kerajaan membenarkan sektor perhutanan dan perkayuan serta rantaian melibatkan pembalakan bersama lain-lain beroperasi memberi kelegaan kepada industri perkayuan terutamanya sektor perabot di seluruh negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, kementerian amat menghargai keputusan kerajaan yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media kelmarin.

Katanya, perdagangan sektor perkayuan bagi tempoh Januari hingga November tahun lalu masih menunjukkan prestasi yang baik dengan nilai eksport berjumlah RM19.8 bilion meskipun berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Kebenaran ini memberi kelegaan kepada industri perkayuan terutamanya sektor perabot di seluruh negara.

“Pada masa sama ia turut memberi manfaat kepada mangsa-mangsa banjir bagi memperoleh bekalan perabot mereka yang musnah akibat bencana berkenaan baru-baru ini,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Mohd. Khairuddin berkata, sektor perabot dianggarkan menggunakan 85 peratus bahan mentah tempatan untuk menghasilkan perabot.

Katanya, kebenaran itu juga membolehkan sektor perkayuan untuk terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI